TAMPIN: Belum sempat mengundi, seorang wanita warga emas rebah sebelum meninggal dunia ketika hadir untuk menunaikan tanggungjawab di Sekolah Kebangsaan Rokan, di sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, mangsa yang berusia 83 tahun sempat mencelup jari dalam dakwat sebelum rebah dan dikejarkan ke Klinik Kesihatan Gemencheh.

Ketua Polis Daerah Tampin, Supt Anuwal Ab Wahab berkata, mangsa yang merupakan pesakit darah tinggi ada mengadu mengalami sakit pada bahagian kaki sejak balik daripada mengerjakan umrah baru-baru ini kepada ahli keluarganya.

“Siasatan awal mendapati semasa sampai di tempat mengundi, warga emas ini telah berjalan kaki dari kereta ke saluran satu dan terdapat rekod perubatan bahawa mangsa adalah pesakit darah tinggi.

“Semasa mangsa berada di saluran satu dan baru selesai mencelup jari dalam dakwat, mangsa telah terjatuh dan tidak sedarkan diri sebelum dibawa oleh ahli keluarga ke Klinik Kesihatan Gemencheh.

“Mangsa masih sedarkan diri ketika itu, namun paras oksigen didapati semakin menurun dan bantuan pernafasan telah dilakukan oleh Pembantu Pegawai Perubatan, namun mangsa tidak berjaya diselamatkan,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut