Serangan peribadi dan cerca-mencerca sesama pemimpin, termasuk bekas pemimpin parti, tidak memberi sebarang keuntungan kepada mana-mana pihak.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, perbuatan mencari kesalahan dan kelemahan orang lain tidak sepatutnya berlaku dan dijadikan modal kempen politik untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Sebaliknya, tindakan tersebut hanya akan menyerlahkan sikap dan keperibadian seseorang pemimpin yang dikhuatiri akan dicemuh oleh rakyat terutama generasi muda.

"Menjelang PRU14, serangan berunsur peribadi dan mencari kesalahan individu tertentu dilihat semakin ketara di media sosial.

"Apa untungnya sesama kita bercakaran dan masing-masing bertindak membuka aib serta melakukan serangan bersifat peribadi, sebagai orang Melayu dan umat Islam, perbuatan itu sepatutnya dihindari," tegasnya dalam catatan terbaharu di laman umnobahagiancheras.blogspot.my miliknya.

BACA: Pilih kerajaan bawa kestabilan politik, mampu urus negara - PM Najib

BACA:
Pembangkang tidak bersungguh kekang penyebaran berita palsu - Pemuda MIC

Syed Ali turut kesal kerana media sosial dijadikan gelanggang untuk melepaskan geram dan saling mencerca di antara satu sama lain, dan paling menyedihkan, hanya membabitkan pemimpin politik Melayu.

"Sedih melihat sesama pemimpin Melayu bergasak sesama sendiri, 'buka kain' sesama sendiri dan akhirnya kita ditertawakan orang. Ini amat memalukan," katanya.

Tidak menunding kepada mana-mana pihak, beliau berkata, tingkah laku pemimpin politik sentiasa menjadi perhatian dan teladan masyarakat umum.

"Seseorang pemimpin politik, termasuk bekas pemimpin, sewajarnya mempamerkan teladan dan tutur kata berhemah yang boleh dijadikan pedoman kepada generasi muda.

"Tetapi hari ini, seolah-olah kita mendidik anak muda supaya menjadi tidak berhemah, caci-mencaci, membuka aib dan melondehkan kelemahan peribadi seseorang tanpa batasan," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan pemimpin UMNO supaya jangan terikut-ikut dengan rentak pembangkang dan pihak berkepentingan yang cuba 'menangguk di air keruh'.

"Ada pihak tertentu kadangkala sengaja melakukan provokasi dengan mencetuskan beberapa isu sensitif menerusi media sosial bagi membangkitkan kemarahan UMNO.

"Di sinilah kadangkala kita terperangkap. UMNO perlu berwaspada dengan taktik tersebut kerana ini boleh melemahkan perpaduan dalam parti.

"Pembangkang juga sengaja 'mengumpan' dengan isu-isu sensitif dan dakwaan berupa fitnah terhadap pemimpin UMNO bagi menarik perhatian pengundi," tegasnya.

Beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan berkata, pembangkang akan melakukan apa sahaja untuk mengalih perhatian rakyat kerana PRU ke-14 yang semakin hampir.

"Pembangkang kini begitu terdesak dan tertekan, mereka akan melakukan apa sahaja propaganda dan strategi untuk melemahkan UMNO termasuk Barisan Nasional (BN).

"Janji-janji dan harapan yang terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan sekadar 'jualan murah' untuk memikat hati pelanggan.

"Berdasarkan cakap-cakap pemimpin pembangkang, pelbagai janji-janji manis dimasukkan dalam manifesto mereka, tetapi saya yakin janji itu sepertimana janji manifesto PRU ke-13," katanya.

Mengenai pemilihan calon PRU ke-14 bagi kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan, Syed Ali berkata keputusannya akan diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"UMNO dan BN Wilayah Persekutuan sentiasa akur dengan keputusan pucuk pimpinan parti dan tidak pernah berbangkit soal perebutan kawasan atau kerusi Parlimen.

"Sekarang kita perlu bekerja kuat untuk memastikan kemenangan yang lebih besar kepada UMNO dan BN," tegasnya.