“Kalah atau menang, saya tak akan lari”.

Itu janji Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong yang mahu membuktikan bahawa beliau bukanlah seorang pengecut dalam menghadapi tentangan daripada calon lawan.

Tegasnya, beliau yakin pengundi memilih Barisan Nasional pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 2014 atas dasar ‘merit’ dan bukan secara ‘kebetulan’.

Katanya, dakwaan yang memburukkannya dan mengatakan dirinya takut akhirnya meleset apabila ternyata beliau bertanding semula di kawasan dimenanginya di Teluk Intan.

"Mereka mengatakan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), saya kalah lebih 7,000 undi dan sebagai Presiden Gerakan, saya akan lari.

"Tetapi mana mungkin jika pada PRU13 kalah, saya tak lari dan menang PRK (Pilihan Raya Kecil) pada 2014, saya lari kerana takut kalah pada PRU14.

“Hari ini saya di sini lagi walaupun saya sudah tahu ada seorang pemimpin mereka yang digelar ‘giant killer’ akan datang untuk bertanding…saya tak lari pun,” katanya ketika ditemui pemberita.

Siew Keong berkata, Teluk Intan mempunyai 66,487 pengundi serta dua kerusi DUN iaitu Changkat Jong dan Pasir Berdamar yang merupakan kampung halamannya.

Pernah tewas sebanyak dua kali di tangan pembangkang pada 2008 dan 2013, Siew Keong menebus semula kekalahannya pada PRK 2013, apabila memperoleh majoriti 238 undi pada ketika itu.

Siew Keong berkata ramai pihak cuba mengandaikan bahawa kekalahan 7,313 majoriti pada PRU ke-13 akan mematahkan semangatnya, namun ia sama sekali tidak benar.

Malah, anak jati Teluk Intan itu berkata beliau tidak akan sesekali memanipulasikan jawatannya sebagai Presiden parti Gerakan untuk mengejar jawatan Senator atau 'lari' ke kerusi yang lebih selamat dan berpotensi untuk dimenangi.

Kerusi Parlimen Teluk menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Siew Keong, Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming dan calon PAS iaitu Dr Ahmad Ramadzan Ahmad Daud.