Tiada lagi kuil akan dirobohkan jika Barisan Nasional (BN) menawan kembali Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), menurut Pegawai Khas kepada Perdana Menteri, Isham Jalil.

Dalam temubual khas dengan Ketua Pengarang Tamil Nesan, K. Padmanabhan baru-baru ini, Isham berkata kerajaan BN kini menentang perobohan kuil secara salah.

"Toleransi agama dan saling menghormati di kalangan masyarakat etnik di negara ini adalah paling utama. Sejak Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri pada 2009, banyak penekanan diberikan tentang pentingnya kesefahaman dan toleransi di kalangan masyarakat berbilang kaum," kata beliau.

Isham berkata sejumlah besar daripada RM50 juta telah diperuntukkan bagi menaik taraf dan penyelenggaraan kuil di negara ini untuk masyarakat India.

"Bagaimanapun, saya sedih mendengar mengenai keadaan sebaliknya di Selangor sejak Pakatan mengambil alih kerajaan negeri pada 2008 apabila 20 kuil telah dirobohkan oleh pihak berkuasa tempatan negeri," kata beliau.

Isham menjawab soalan yang dikemukakan oleh Padmanabhan mengenai tindakan merobohkan sebuah kuil Hindu di Masai, Johor, yang dikatakan dijalankan oleh kerajaan negeri Johor tetapi sebenarnya dilakukan oleh pemilik tanah persendirian.

Dalam pada itu, Isham mengulangi keyakinannya bahawa kerajaan akan mengurangkan cukai pintu supaya lebih ramai golongan muda mampu membeli rumah dan mengurangkan kos sara hidup jika BN menawan semula Selangor pada pilihan raya umum akan datang.

"Disebabkan kenaikan besar cukai pintu dan cukai perniagaan oleh kerajaan Pakatan, harga hartanah dan kadar sewa bagi premis kediaman dan perniagaan telah meningkat dengan ketara.

"Ini telah menyebabkan peningkatan harga barangan dan perkhidmatan, jadi kos sara hidup meningkat dan menimbulkan bebanan kepada penduduk di Selangor," katanya

Isham berkata masalah itu juga telah menyebabkan situasi apabila rakyat di Selangor, terutama golongan muda, tidak lagi mampu untuk membeli rumah di Selangor, kerana mereka terpaksa membayar sejumlah besar bagi pinjaman rumah yang memberi kesan negatif kepada pendapatan boleh guna, justeru meningkatkan kos sara hidup. -- Bernama