SUNGAI SIPUT: Seramai 10 orang penggerak utama Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ranting Felda Lasah, Sungai Siput mengisytiharkan keluar parti dan menyertai UMNO.

Tindakan mereka dijangka dituruti ahli serta pemimpin beberapa ranting PKR di Sungai Siput, melibatkan kira-kira 500 orang.

Bekas Ketua PKR Ranting Felda Lasah, Anuar Wahi berkata, selepas hampir 20 tahun berjuang dalam parti itu, mereka merasakan UMNO dan Barisan Nasional (BN) lebih baik dalam membela rakyat.

"Saya telah berkhidmat di dalam parti Keadilan di Sungai Siput selama hampir 20 tahun, sayalah salah satu pejuang atau penggerak utama iaitu reformasi.

"Tapi sayang setelah bertahun, sepenggal, second term, third term dan sekarang fourth term, saya nampak di mana kelemahan dan kekurangan. Jadi atas dasar untuk kebaikan rakyat, saya ingin menyertai UMNO atas dasar kepimpinan yang saya nampak pada hari ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian UMNO Sungai Siput, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, tindakan kumpulan itu akan memperkukuhkan peluang BN untuk mempertahankan kerusi DUN Lintang dan merampas semula Parlimen Sungai Siput.

"Saya penuh yakin beberapa ranting lagi akan turut bersama dengan saudara Anuar. Di Kg Bahagia, di Jawang, di Lasah dan beberapa lagi ranting yang akan turut bersama dengan saudara Anuar.

"Kalau dikira hampir 500 orang termasuk isteri, anak-anak, keluarga dan saya kira lebih kurang 500 orang akan bersama-sama dengan UMNO dan Barisan Nasional," katanya.

Mereka ditemui selepas majlis pengumuman keluar parti PKR untuk menyertai UMNO di Felda Lasah, pada Sabtu malam.