KUALA LUMPUR: Sebanyak 151 daripada 191 Bahagian UMNO seluruh negara dilapor sebulat suara menyokong Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri mewakili Barisan Nasional (BN) jika gabungan itu membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum (PRU15).

Namun difahamkan terdapat dua Bahagian UMNO iaitu di Perak (Taiping dan Bukit Gantang) masih belum mengadakan mesyuarat.

Usul berkenaan selaras dengan keputusan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO dan pengumuman Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Mesyuarat Agung luar biasa UMNO tempoh hari.

Dalam kenyataan Ahad lalu, Ahmad Zahid turut menyatakan sekali lagi mengenai Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri dan menegaskan pendirian berhubung perkara itu tidak berubah sekiranya BN berjaya mentadbir Putrajaya. 

Malah, Bahagian-Bahagian UMNO yang diketuai Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri juga membuat usul sama seperti Datuk Seri Jamil Khir (Kedah), Datuk Seri Musa Sheikh Fadzir (Pulau Pinang), Datuk Seri Saarani Muhamad (Perak), Tan Sri Noh Omar (Selangor), Datuk Seri Rauf Yusof (Melaka), Datuk Seri Hasni Mohamad (Johor), Datuk Seri Wan Rosdi Wan Ismail (Pahang), Datuk Seri Ahmad Said (Terengganu), Datuk Wira Jazlan Yaakub (Kelantan), dan Datuk Seri Bung Moktar Radin (Sabah).

Manakala Pengerusi Perhubungan yang tidak membuat usul tersebut adalah Datuk Seri Azlan Man (Perlis), Datuk Seri Johari Ghani (Wilayah Persekutuan), dan Datuk Seri Mohamad Hassan (Negeri Sembilan).

Ahmad Zahid sebelum ini juga dilapor berkata Ismail Sabri kekal sebagai 'poster boy' BN.