KUCHING: Premier Sarawak iaitu Tan Sri Abang Johari Tun Openg selesai menunaikan tanggungjawab mengundi di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Merpati Jepang di sini.

Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu tiba di sekolah berkenaan sekitar jam 9:22 pagi bersama isteri Puan Sri Juma'ani Tun Tuanku Bujang.

Abang Johari dan isteri membuang undi sekitar pukul 9:29 pagi di saluran 1.

Beliau sempat beramah mesra dengan pengundi sebelum memasuki pusat mengundi.

Pengundi keseluruhan di kawasan Parlimen P.194 Petrajaya berjumlah 109,809 pengundi.

Daripada jumlah itu 53,847 adalah pengundi lelaki dan pengundi perempuan berjumlah 55,962 orang.

Parlimen Petra Jaya menyaksikan pertembungan tiga penjuru, dengan penyandangnya Datuk Seri Fadillah Yusuf daripada GPS berdepan dua pencabar iaitu calon Pakatan Harapan (PH) Sophian Junaidi dan Datuk Othman Abdillah mewakili Parti Sedar Rakyat Sarawak (SEDAR).