SEMPORNA: Air mata dan pelukan kasih sayang mengiringi Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ketika proses penamaan calon di kerusi Parlimen Semporna di Dewan Masyarakat Semporna, di sini hari ini.

Presiden Parti Warisan (Warisan) itu tiba sekitar pukuk 9.05 pagi diiringi ribuan penyokong sebagai tanda solidariti kepada penyandang kerusi berkenaan sejak Pilihan Raya Umum ke-9.

Turut mengiringi, isterinya, Datin Seri Shuryani Shuaib dan ahli keluarga yang dilihat memberi pelukan sebelum Mohd Shafie memasuki pekarangan PPC.

Langkah Mohd Shafie ke pusat penamaan turut diiringi alunan selawat oleh para penyokongnya.

Selain Mohd Shafie, pekarangan PPC berkenaan turut bergema dengan sorakan daripada penyokong-penyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN).

Calon gabungan itu, Nixon Abdul Habi tiba sekitar pukul 8.40 pagi, dengan laungan “radu tetap radu”.

Sementara penyokong calon daripada Pakatan Harapan (PH)-PKR, Arastam Pandorog kedengaran menyanyikan lagu “hoi hoi ya hoi”.

Setakat ini, Mohd Shafie dijangka ditentang Nixon dan Arastam di kerusi Parlimen Semporna, yang juga merupakan muka baharu.

Dalam pada itu, calon-calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya turut bakal berentap bagi mengisi kekosongan kerusi berkenaan.

Mereka yang dilihat tiba menghantar borang penamaan calon ialah Abdul Aziz Mohd Ibno (BN); Jamil Hamzah (Warisan); dan Karil Tg Kuraini (Parti Perpaduan Rakyat Sabah).

Turut dijangka memberi tentangan di kerusi DUN Bugaya ialah seorang calon Bebas, Jurazli Shi Ahmad yang merupakan seorang ‘Youtuber’.

Mengikut statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pengundi berdaftar di Parlimen Semporna adalah seramai 72,169 orang.

Pada PRU14, Mohd Shafie memperoleh majoriti 20,674 undi dalam saingan empat penjuru.

Sementara kerusi DUN Bugaya, penyandangnya, Allahyarham Manis Muka Mohd Darah menang pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16 atas tiket Warisan dengan majoriti 6,005 undi selepas memperoleh 8,557 undi.