PRU15: Amanah Johor kesal kerusi Tanjung Piai diserah kepada MUDA

Hilmi Malik
Oktober 31, 2022 09:19 MYT
Aminolhuda berkata, tindakan itu seperti mengulangi kesilapan yang berlaku di DUN Puteri Wangsa. - Gambar fail
JOHOR BAHRU: Parti Amanah Negara (Amanah) Johor menzahirkan kekecewaan terhadap keputusan pucuk pimpinan menyerahkan kerusi Parlimen Tanjung Piai kepada Parti Ikatan Demokratik (MUDA).
Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan berkata, tindakan itu seperti mengulangi kesilapan yang berlaku di DUN Puteri Wangsa.
"Secara asasnya, perbincangan pembahagian kerusi di kalangan tiga komponen utama PH perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum perundingan pihak lain.
"Amanah Johor mohon pucuk pimpinan PH supaya buat semakan semula berhubung kerusi Tanjung Piai," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
BACA: PRU15: Pengerusi Amanah Kedah dipecat
Menurutnya, perbincangan awal menyaksikan Amanah bertanding enam kerusi, DAP (lapan), PKR (11) dan MUDA (satu).
Aminolhuda berkata, parti komponen yang mempunyai kerusi lebih banyak sepatutnya memberikan kerusi itu kepada MUDA kerana Amanah hanya bertanding dengan jumlah kerusi yang sedikit.
Dalam pada itu katanya, Amanah Johor tetap menghormati keputusan yang telah dibuat Majlis Presiden PH.
#PRU15 #Amanah Johor #Parlimen Tanjung Piai #muda