ALOR SETAR: Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Kedah, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi dipecat daripada parti berkenaan berkuatkuasa serta-merta.

Keputusan berkenaan diputuskan selepas Jawatankuasa Pengurusan Nasional Amanah yang bermesyuarat hari ini mendapati Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Mengkudu itu telah  melanggar Perlembagaan, mengingkari keputusan-keputusan dan melakukan perbuatan yang bertentangan dengan kepentingan parti.

Menerusi Setiausaha Agung Amanah, Datuk Hatta Ramli, keputusan memecat Phahrolrazi  dibuat berasaskan peruntukan kuasa di bawah Fasal 6.2 (b) Perlembagaan Parti.

Sehubungan itu, jelas Hatta, Timbalan Pengerusi Amanah Negeri Kedah, Datuk Ismail Salleh akan menjalankan tugas-tugas Phahrolrazi berkuatkuasa serta-merta.

Sementara itu, Phahrolrazi ketika dihubungi Astro AWANI memaklumkan, beliau akan mengadakan sidang media pada pukul 5.30 petang ini bagi mengulas keputusan pucuk pimpinan Amanah memecatnya.

Beliau juga akan menjelaskan mengenai tindakan Pakatan Harapan (PH) mencalonkan calon daripada DAP di kerusi Parlimen Jerai.

Terdahulu, kelibat Phahrolrazi tidak kelihatan pada Majlis Pengisytiharan Calon PH Kedah bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang diadakan di Padang Awam, Bandar Laguna Merbok semalam.

'Kehilangan' pemimpin berkenaan dipercayai mempunyai kaitan dengan keputusan PH untuk meletakkan calon daripada parti DAP di kerusi Parlimen Jerai berbanding calon daripada parti Amanah.