Sebanyak 1,432 daripada 4,361 kes pembakaran terbuka yang dikesan sejak awal tahun ini sehingga semalam melibatkan pembakaran kawasan pertanian.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G. Palanivel berkata, diikuti kawasan belukar (1,001 kes), kawasan hutan (897 kes), kawasan pembinaan (132 kes), tapak pelupusan sampah (69 kes) dan kawasan industri (34 kes).

"Sebanyak 796 kes dicatatkan bagi pembakaran terbuka kecil yang lain,", katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Palanivel, bagi tempoh sama, Jabatan Alam Sekitar telah mengenakan kompaun kepada 297 kes pembakaran terbuka dan mengeluarkan notis amaran bagi 94 kes lain.

Tambahnya, mana-mana pihak yang disabitkan kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali berdasarkan Seksyen 29(A) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

"Kompaun maksimum sebanyak RM2,000 juga boleh dikenakan atas setiap kesalahan," katanya.

Ujarnya, Monsun Barat Daya yang membawa cuaca panas dan kering dalam negara pada masa ini dijangka berterusan sehingga September.

Sebelum ini, Palanivel menjelaskan, 294 daripada 4,007 kes pembakaran terbuka yang dilaporkan tahun ini telah dikenakan tindakan kompaun manakala 94 lagi diberi notis amaran.

Tegasnya, sebanyak 43 kertas siasatan bagi kesalahan melakukan pembakaran terbuka juga telah dibuka bagi tindakan pendakwaan di mahkamah.

Palanivel berkata, demi menjaga kepentingan dan kesihatan awam, terutamanya dalam keadaan berjerebu, perintah larangan pembakaran terbuka juga masih berkuatkuasa di negeri Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Putrajaya selain memastikan pemantauan serta prosedur pencegahan dijalankan di seluruh negara.