KUCHING: Datuk Hanifah Hajar Taib berjaya mengekalkan momentum kejayaan cemerlangnya dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) selepas berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Mukah.

Penyandang dan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu menang dengan majoriti 15,686 undi selepas menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Abdul Jalil Bujang yang meraih 6,047 undian.

Ketika ditanya mengenai kemenangannya, Hanifah berkata beliau akan terus membawa pembangunan di kawasannya terutama luar bandar yang masih memerlukan kemajuan.

“Walaupun terdapat beberapa isu dan perkara yang tidak berada di bawah bidang kuasa saya, namun kita akan berusaha mengusulkan dan mengutarakan masalah yang dihadapi rakyat kepada kementerian berkaitan.

“Ia termasuk mempercepatkan agenda pembangunan di kawasan luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pengumuman rasmi keputusan PRU-15 bagi Parlimen Mukah di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini pada Sabtu malam.

Pada PRU-14, Hanifah menang dengan majoriti 7,000 undi mengalahkan Abdul Jalil. Parlimen Mukah mempunyai  46,964 pemilih berdaftar.

Semasa pentadbiran Kerajaan Persekutuan lalu Hanifah dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) di bawah Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Maximus Ongkili sejak Ogos 2021.