IPOH: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengumumkan untuk bertanding di kerusi Parlimen Tambun memulakan aktiviti menemui pengundi dan jentera di kawasan itu hari ini.

Program pertama seawal 11 pagi, Anwar dijadual bertemu jentera Dewan Undangan Negeri (DUN) Manjoi di Pusat Khidmat DUN Manjoi, Kampung Manjoi di sini.

Usai program pertama, Anwar akan bertemu masyarakat Cina dalam program Pesta Lei Cha bersama masyarakat Sungai Kanthan di Pasar Kanthan, Chemor yang akan turut dihadiri Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming.

Sekitar jam 3 petang, Pengerusi PH itu akan menghadiri program Ramah Mesra Bersama Veteran Tentera di Dewan Orang Ramai Batu 10, Chemor sebelum bertemu penduduk di Taman Chepor Jaya.

Kemuncak program, Anwar akan menghadiri program Ramah Terbuka Deepavali di Pusat Khidmat DUN Hulu Kinta, Tanjung Rambutan.

Pada 20 Oktober lalu, Anwar yang juga Ketua Pembangkang, mengumumkan bertanding di kerusi Parlimen Tambun pada PRU15 ini.

Perkara itu dimaklumkan beliau sendiri ketika menyampaikan ucaptama dalam Konvensyen Harapan 2022 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa (ICC) Ipoh.

Kerusi Parlimen Tambun disandang Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang menang bertanding atas tiket PH pada PRU14 lepas dengan majoriti 5,320 undi dalam pertembungan tiga penjuru menewaskan Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah (BN) dan Ibrahim Zakaria (Pas). -Sinar Harian