BERA: Tuduhan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengatakan anggota tentera yang mengundi di Parlimen Bera dibayar RM300 bertujuan merendahkan imej anggota pasukan keselamatan itu, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Naib Presiden UMNO yang juga penyandang Parlimen itu berkata, dakwaan Anwar itu seperti sengaja mahu menimbulkan pandangan negatif masyarakat terhadap Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Tambah Perdana Menteri, Anwar perlu memohon maaf dan menarik balik tuduhan sedemikian kerana ia bersifat jahat dan menghina seluruh anggota tentera di negara ini.

"Soal kata bayar dan sebagainya ini merupakan tuduhan yang jahat. Jangan menghina anggota tentera, saya minta kepada Anwar tarik balik tuduhan tersebut kerana tuduhan ini saya anggap menghina anggota tentera di seluruh negara.

"Bukan sahaja di Bera yang mengundi awal tapi seluruh negara yang mengundi awal jadi tuduhan ini mencemarkan imej anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang selama ini mempertahankan negara yang dihormati oleh masyarakat.

"Tindakan ini boleh mencemarkan imej tentera. Jadi saya harap Datuk Seri Anwar minta maaf bukan kepada saya tapi maaf kepada anggota tentera yang mengundi awal kerana menuduh mereka menerima wang dan sebagainya," katanya.

Ismail Sabri berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Ngeteh Santai Orang Kita di Perkampungan Orang Asli Kampung Bongkok Bera pada Jumaat.

[LAPOR LANGSUNG] PRU15: Tak salah saya bercita-cita tinggi mahu jadi perdana menteri - Khairy

SEMAK CALON PRU15 DI SINI


Tambah Ismail Sabri tiada keistimewaan sedemikian diberi kepada anggota tentera untuk mengundi sehingga diberikan imbuhan sedemikian.

Terdahulu, Anwar yang merupakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), mendakwa berlaku pengundian awal membabitkan anggota tentera di Bera, pada Jumaat, malah ada anggota yang dibayar RM300.

Anwar yang mendakwa mempunyai bukti kukuh mengenai perkara itu meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil tindakan sewajarnya berhubung perkara berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Pengerusi PH di Bilik Gerakan Utama PH Kuala Nerus pada Jumaat.