KUALA LUMPUR: Calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohd Johari Hussain menang tipis dengan majoriti 573 undi di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman.

Beliau memperolehi 8,080 undi bersamaan 48.95 peratus daripada keseluruhan undi dalam persaingan lima penjuru itu. 

Sementara itu, Nor Idayu Hashim dari Perikatan Nasional (PN) memperolehi 7,507 undi atau 45.47 peratus.


Tiga calon lain iaitu Mohd Fadzli Mohd Ramly mewakili Pakatan Harapan (PH) memperoleh 784 undi (4.75 peratus) sementara Osman Bakar dari Parti Pejuang pula mendapat 79 undi (0.48 peratus).

Sulaiman Bakar yang juga calon Bebas pula mendapat 58 undi atau bersamaan 0.35 peratus.

DAPATKAN KEPUTUSAN PRU15 DI SINI

[LAPOR LANGSUNG] PRU15: Calon BN menang di DUN Tioman, di Padang Serai PN masih mendahului

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebanyak 28,465 pengundi layak mengundi dalam pemilihan bagi kerusi DUN itu dengan peratusan keluar mengundi adalah 57.99 peratus.

SPR berkata, 16,508 undi diterima dengan 91 ditolak.

Sementara itu, Bernama melaporkan, proses pengundian bagi DUN Tioman diadakan hari ini selepas ia ditangguhkan ekoran kematian calon PN Md Yunus Ramli, 61, pada 3.30 pagi hari pengundian 19 Nov lepas, akibat serangan jantung.

Keputusan itu menjadikan kedudukan BN dan PN di DUN Pahang selepas PRU15 masing-masing menguasai 17 kerusi manakala baki lapan kerusi lagi dimenangi Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun, keputusan itu tidak mengubah pentadbiran Pahang kerana BN dan PH telah menjalin kerjasama bagi membentuk kerajaan negeri yang turut diperkenan oleh Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Kerjasama itu juga membolehkan Wan Rosdy mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar pada 28 Nov lepas.

Perkembangan itu juga menyebabkan PH menerusi Parti Amanah Negara (Amanah) mengumumkan pendirian mereka untuk memberi laluan kepada calon BN pada pilihan raya tersebut kerana Mohd Fadzli adalah daripada Amanah.

Bagaimanapun, SPR memaklumkan nama Mohd Fadzli masih disenarai pada kertas undi dan pengundi boleh memberi undi kepada beliau kerana status pencalonan tidak boleh diubah selepas tempoh penamaan calon tamat.