PADANG RENGAS: Semakin menghampiri hari penentuan, bahang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kian terasa di kebanyakan tempat.

Di Parlimen Padang Rengas misalnya, calon Pakatan Harapan (PH), Muhammad Kamil Abdul Munim mempelawa lawannya untuk berwacana, berhujah mengenai perancangan mereka untuk penduduk di situ.

Tambah beliau, memandangkan semua calon adalah muka baharu, jadi beliau berpendapat adalah molek sekiranya budaya politik baharu yang meraikan wacana, debat dan hujah dimulakan di Padang Rengas.

"Bagi menyuburkan budaya intelek, bagi kita menyuburkan amalan demokrasi, adalah baik kalau kita dapat adakan satu bentuk wacana, atau forum atau debat di antara calon-calon ahli Parlimen di Padang Rengas.

"Ini satu budaya politik yang baharu, biar rakyat di Padang Rengas ini boleh membuat penilaian secara objektif, apakah matlamat sekiranya kita ini diberikan amanah dan tanggungjawab dan dipilih menjadi ahli parlimen.

"Kita juga boleh beritahu apakah misi dan visi setiap daripada kita dalam wacana itu," katanya ketika ditemui dalam kempennya di Padang Rengas baru-baru ini.

Jelasnya, wacana sebegitu perlu diadakan agar rakyat boleh melihat dan menilai setiap calon dan bukan bergantung kepada sentimen semata-mata.

Dalam pada itu, calon Barisan Nasional yang ditemui Astro AWANI, Datuk Mohd Arrif Abdul Majid menyatakan beliau menolak pelawaan tersebut dan menegaskan ia bukanlah budaya penduduk Padang Rengas.

"Inilah masalahnya bila calon datang daripada luar. Memang dia mengaku dia asal daripada Padang Rengas, jadi budaya ini bukanlah satu budaya yang ada di Padang Rengas.

"Tidak pernah ada lagi dalam tempoh kempen, perdebatan berlaku. Saya bukan Presiden parti, dia juga bukan Presiden parti, dia juga bukan Perdana Menteri yang kita perlu berdebat.

"Jadi pada saya, ini bukan budaya yang sihat. Kita berkempen cara kitalah sebab kita nak jumpa semua pengundi di Padang Rengas ini," tegasnya.

Tambah beliau, penyandang kerusi tersebut, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz terkenal sebagai pemimpin yang petah bercakap namun tidak pernah sekali pun beliau mencabar lawannya untuk berdebat ketika kempen pilihan raya.

Selain dua calon PH dan BN, kerusi tersebut turut direbut calon daripada Perikatan Nasional (PN), Kapten Azahari Hasan.