GEORGE TOWN: DAP akur dan memberi sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) berhubung keputusan menjalinkan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) bagi membentuk kerajaan.

Pengerusinya, Lim Guan Eng berkata, pendirian DAP adalah sejajar dengan kepimpinan tertinggi PH.

Katanya keputusan itu juga telah dipersetujui  dalam mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC).

"Kita sebagai Pakatan Harapan, kalau PH ada (buat keputusan) gabungan untuk bersama BN kita akan bersamalah... kita akan ikut  keputusan PH bergabung dengan  BN.

"Saya  tidak mahu bercakap lebih daripada itu, itu adalah keputusan yang kita ambil bersama dalam mesyuarat tertinggi (CEC) dan terpulang kepada kepimpinan tertinggi PH, kita sokong keputusan dibuat,” katanya ketika ditemui di Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut ketika ditanya sama ada sudah mengadakan pertemuan dengan kepimpinan tertinggi PH berhubung cadangan tersebut.

Rundingan bentuk kerajaan: BN minta sedikit tempoh - Anwar

[LAPOR LANGSUNG] PRU15: Parlimen tergantung, rundingan bentuk kerajaan bermula

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama pimpinan tertinggi pakatan itu hari ini mengadakan pertemuan bersama  pemimpin tertinggi BN diketuai Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Pertemuan itu dipercayai bagi membincangkan berhubung pembentukan kerajaan.

Sementara itu Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, beliau tidak menghadiri mesyuarat CEC semalam dan tidak mempunyai makluman jelas berhubung perkara itu.

Namun katanya, apa sahaja keputusan berhubung pembentukan kerajaan  adalah tertakluk kepada keputusan parti.