REMBAU: Gerak kerja Barisan Nasional (BN) dilihat semakin diterima dalam kalangan masyarakat Cina di seluruh negara sekali gus menunjukkan petanda positif menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata perkara itu bukan sahaja ditunjukkan semasa berkempen dalam PRU15 kali ini, malah melalui beberapa Pilihan Raya Kecil serta Pilihan Raya Negeri di Melaka dan Johor, selain kajian sikap pengundi yang dilaksanakan.

"Perubahan sikap tak macam 2018 dulu, kalau nampak baju dacing dia mengelak, kalau pergi kedai, masuk dalam tapi sekarang mereka keluar tunggu kita, itu merupakan bahasa tubuh yang boleh kita baca. Seluruh negara (tunjuk perubahan baik), melainkan mereka penyokong tegar (parti lain).

"(Mereka) Undi kita tak tahu, tapi penerimaan mereka menggembirakan kita. Mereka mesra, saya tak boleh kata peratusan tapi jelas majoriti (diterima) bukan sahaja di sini," katanya kepada pemberita selepas 'walkabout' di Pekan Kota di sini, hari ini. 


Mohamad yang juga calon Parlimen Rembau itu berkata masyarakat Cina merupakan pengundi ekonomi dan mereka pastinya memilih kerajaan yang dapat mentadbir urus dan membangunkan ekonomi negara dengan baik.

"Kaum Cina menggunakan 'kewarasan' bagi memilih parti yang boleh memberikan kemakmuran ekonomi, masa BN (tadbir), ekonomi bertumbuh baik walaupun ada beberapa perkara berlaku dan mereka sama-sama dapat menyertai kegiatan ekonomi," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh 19 Nov sebagai hari pengundian manakala undian awal diadakan pada 15 Nov.

-- BERNAMA