KUANTAN: Gelombang penolakan pengundi Melayu kepada Barisan Nasional (BN) dilihat menjadi faktor, hinggakan buat pertama kalinya kerajaan negeri Pahang tergantung, selepas tiada parti berjaya memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri.

Gelombang itu juga menyebabkan kawasan Felda kini tidak lagi boleh dianggap sebagai 'kawasan selamat BN', memandangkan Pahang mempunyai 115 tanah rancangan iaitu di 12 daripada 14 kawasan Parlimennya, namun ia juga tidak dapat memberikan BN keputusan selesa pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Berdasarkan keputusan diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) awal pagi semalam, BN memperoleh 16 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), ketinggalan satu kerusi di belakang Perikatan Nasional (PN), yang mendapat 17 kerusi manakala Pakatan Harapan (PH) hanya menang di lapan kerusi.

Jumlah DUN Pahang sebanyak 42 kerusi, namun pada PRU15, proses pengundian DUN Tioman ditangguhkan kepada 7 Dis ini, ekoran kematian calon PN kerusi itu Md Yunus Ramli, 61, pada pukul 3.30 pagi Sabtu, dipercayai akibat serangan jantung.

Keputusan PRU15 menyaksikan BN, yang berjaya membentuk kerajaan negeri pada tahun 2018 dengan memperoleh 25 kerusi DUN, hilang lapan kerusi iaitu di Bukit Ibam, Kuala Sentul, Pulau Tawar, Pulau Manis, Lanchang, Kuala Semantan, Lepar dan Sungai Lembing, semuanya kepada PN.

Felo Penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya, Universiti Malaya (UMCEDEL) Prof Madya Mohd Izani Mohd Zain, tidak menolak kemungkinan usaha PN menjaga peneroka dalam tempoh singkat ketika Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin bergelar Perdana Menteri, menjadi faktor kepada 'peralihan' golongan peneroka kepada PN.

Antara sumbangan beliau kepada peneroka ialah melupuskan RM8.3 bilion hutang peneroka, mengambil balik 82 peratus saham Felda Global Venture (FGV) dan meluluskan penerbitan sukuk berjaminan kerajaan bernilai RM9.9 bilion, bagi menambah baik model perniagan Felda.

"Mereka (peneroka) masih ingat apa yang dilakukan oleh Muhyiddin tetapi lebih daripada itu, PN menonjolkan parti mereka sebagai gabungan yang bersih dan tidak bermasalah, serta lebih memberi keutamaan kepada aspek integriti.

"Ini menyebabkan pengundi melihat PN sebagai parti yang lebih selamat, untuk dijadikan alternatif kepada BN untuk terus menjaga kepentingan Melayu dan Islam, berbanding PH," katanya kepada Bernama semasa dihubungi.

Faktor itu juga menyebabkan pertembungan sebenar PRU15 di Pahang ialah antara BN-PN, berbanding PH yang akhirnya terpaksa menerima bahawa 16 calon parti pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu hilang deposit.

Mohd Izani yang juga Profesor Madya di Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata BN Pahang turut 'menanggung kesan' permasalahan parti yang berlaku di peringkat Pusat seperti pimpinan parti yang terpalit pelbagai isu, sehingga berlakunya 'swing vote' kali ini.

"Pemilihan calon juga boleh menjadi faktor kepada kekalahan BN membentuk kerajaan negeri. Mereka memandang rendah kekuatan calon yang diletakkan, sedangkan calon boleh menang yang lazimnya ialah orang lama sudah mempunyai pengaruh dan pengikut tersendiri," katanya.

Sebagai contoh, apabila bekas penyandang kerusi Parlimen Maran Datuk Seri Ismail Abd Muttalib, membuat kejutan 'bersama Pas' selepas digugurkan daripada terus mewakili BN di situ, berjaya menewaskan calon BN Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin dengan dengan majoriti 1,821 undi.

Penganalisis politik Dr Ainul Adzellie Hasnul pula berpandangan, BN Pahang kini mempunyai tugasan berat mendapatkan semula kepercayaan rakyat, yang harus bermula dengan melakukan pembersihan bukan hanya di peringkat negeri, malah perlu dilakukan oleh pimpinan pusat.

Sehubungan itu, pemilihan UMNO selaku salah satu komponen parti BN, yang perlu diadakan dalam tempoh enam bulan selepas pilihan raya semalam, menjadi medan terbaik untuk membuat pembersihan dari dalam parti, dengan menukar kepimpinan yang menjadi 'beban' kepada parti, selain mengetengahkan orang muda.

"Beri mereka peluang untuk memimpin dan jangan letakkan mereka di keadaan tidak selamat seperti pada pilihan raya semalam, ada ramai muka baru dipertaruhkan di kawasan kelabu atau hitam, ini seperti melepaskan batuk di tangga dalam usaha UMNO meremajakan parti," katanya.

Beliau juga berpendapat, gelombang penolakan pengundi Melayu terhadap BN yang berlaku di peringkat Pusat, turut menyebabkan berlakunya 'domino effect' dari utara ke selatan dan Pahang di Pantai Timur.

"Gerakan penolakan ini berlaku secara senyap. Jika di lihat dari kempen, BN seolah-olah menjadi pilihan di Pahang sedangkan pengundi itu sendiri sudah tahu siapa yang hendak mereka pilih, yang akhirnya ditunjukkan menerusi keputusan PRU15," katanya.

-- BERNAMA