SIBU: Gabungan Parti Sarawak (GPS) seharusnya tidak berteka-teki mengenai pakatan parti yang akan disokong gabungan itu selepas 19 November 2022.

Veteran Parti Tindakan Demokratik (DAP), Lim Kit Siang berkata, tindakan GPS tidak menyatakan sokongan jelas menyukar dan mengelirukan pengundi di Sarawak memandangkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah untuk membentuk Kerajaan Pusat dan bukannya negeri.

Berbeza dengan DAP, beliau berkata parti itu sudah mempunyai hala tuju jelas bersama Pakatan Harapan (PH) dan konsisten dengan perjuangan mereka di peringkat nasional.

“Rakyat Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia perlu bersatu untuk menyelamatkan Malaysia, ini adalah PRU15, ini bukannya soal hak Sarawak atau Sabah, bukannya pilihan raya negeri, ia adalah pilihan raya untuk menentukan siapakah Perdana Menteri untuk mentadbir kerajaan di Putrajaya.

“Sekarang ini hanya ada tiga pakatan, PH, BN, dan PN, tidak ada pakatan yang lain, DAP tidak boleh melemahkan pendirian, seperti yang saya nyatakan DAP mesti menang antara 80 ke 90 kerusi parlimen untuk mencapai angka 112 selepas rundingan,” katanya semasa sidang media di Ibu Pejabat DAP Sibu di sini pada Selasa.

Dalam sidang media sama, calon DAP Parlimen Sibu, Oscar Ling berkata sentimen parti tempatan yang diperjuangkan GPS dilihat semakin tidak relevan.

Tegasnya, kesemua calon PH di Sarawak adalah rakyat tempatan, yang juga berjuang demi pembangunan negeri itu malah turut sama berada di gelanggang Dewan Rakyat menyuarakan hak pengundi.

“Sentimen GPS mengatakan hanya mereka parti tempatan yang benar-benar mewakili Sarawak saya percaya tidak tepat, saya dan Alice (penyandang Parlimen Lanang) juga rakyat sarawak, dan kami adalah parti nasional, kami ada platform yang lebih luas, kami bersama PH.

“Ini bermakna secara tidak langsung pengundi sudah memilih Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, jika rakyat pilih parti tempatan GPS atau Parti Sarawak Bersatu (PSB), siapa yang akan mereka sokong selepas PRU15?.

"Rakyat tidak akan tahu malah sehingga kini GPS tidak dapat menyatakan siapa yang akan mereka sokong, adakah Zahid Hamidi (BN), Muhyiddin Yassin (PN) ataupun mungkin Abdul Hadi Awang (Pas),” ujarnya.