JITRA: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kubang Pasu, Datuk Hasmuni Hassan menyatakan fokus utama yang akan diketengahkan sepanjang tempoh berkempen sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), adalah memastikan anak-anak Kubang Pasu kembali pulang untuk menabur khidmat di kampung halaman masing-masing.

Menurutnya, perkara itu hanya dapat dilakukan dengan membangunkan projek-projek berimpak tinggi di sempadan Bukit Kayu Hitam-Sadao termasuk Zon Sempadan Ekonomi Khas (SBEZ) Kota Perdana.

Tambah beliau, masalah melibatkan banjir di beberapa kawasan di daerah Kubang Pasu akan turut menjadi keutamaannya selain sektor pertanian yang merupakan sumber hasil utama majoriti penduduk di Parlimen berkenaan.

"Anak anak daripada Parlimen Kubang Pasu (selepas ini saya rasa) tidak perlu berhijrah keluar, mereka boleh cari makan di tempat sendiri, maknanya di pintu sempadan itu yang merupakan jalan darat yang hubungkan Malaysia-Thailand yang hubungkan Bukit Kayu Hitam-Sadao.

“Kita berasa cemburu sebab pintu sempadan (di) Johor Bahru yang merupakan pintu sempadan Utama antara Johor dan Singapura (lebih maju), jadi kita perlu jadikan Kubang Pasu seperti Johor Bahru dengan jadikan (Bukit Kayu Hitam) sebagai sempadan utama sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan yang banyak kepada rakyat," kata beliau.



Hasmuni yang juga Setiausaha Agung Pergerakan Pemuda UMNO berkata, keputusan kepimpinan BN yang berani meletakkan seorang calon muda membuktikan parti itu mahu memberi nafas baharu kepada kawasan Parlimen yang sebelum ini merupakan kubu kuat BN.

Padar PRU15, Hasmuni akan berhadapan dengan lawan yang bukan calang-calang iaitu Setiausaha Agung Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Amiruddin Hamzah serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Chempedak, Datuk Ku Abdul Rahman Ku Ismail yang mewakili Perikatan Nasional (PN), memandangkan kedua-dua mereka tidak pernah kalah sepanjang bertanding didalam pilihan raya.

Dalam masa sama, Hasmuni berkata, momentum sokongan akan kembali berbalik kepada BN atas beberapa faktor termasuk dirinya yang merupakan anak tempatan.

"Saya menghormati mereka sebagai pemimpin yang lama, mereka berdua Datuk Amiruddin (Hamzah) dan Datuk Ku Rahman (Ku Ismail), tidak pernah kalah dalam pilihan raya, (mereka) mempunyai sejarah yang cukup gemilang, setiap kali bertempur didalam pilihan raya.

"Saya sebagai orang baharu tidak boleh pandang rendah terhadap kebolehan mereka mentadbir mengurus dan bertanding dalam pilihan raya, mereka lebih arif bagaimana selok belok bagaimana untuk masuk dalam pilihan raya yang sebenar, (tetapi saya akan pastikan yang terbaik untuk Kubang Pasu)," kata beliau lagi.

Parlimen Kubang Pasu menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan Hasmuni yang mewakili BN, penyandang Parlimen, Amiruddin (Pejuang), Exco Kerajaan Negeri Kedah, Ku Rahman Ku Ismail (Perikatan Nasional) dan calon Pakatan Harapan, Aizuddin Ariffin.

Pada PRU14, Amiruddin yang bertanding atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) menang kerusi berkenaan dengan majoriti 13,009 undi menewaskan dua calon lain masing-masing dari BN dan Pas.