IPOH: Tindakan beberapa calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) membuat pengisytiharan harta dan jumlah aset, hanyalah satu sandiwara.

Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ini kerana mereka yang telah mengisytiharkan harta itu sendiri mempunyai rekod terlibat rasuah.

Justeru, beliau berkata, PN tidak perlu mengikut apa yang dilakukan parti lawan.

"Mereka boleh buat asset declaration tapi mereka yang terlibat dalam rasuah pun masih menjadi calon. Ini semua sandiwara. 

"Jika anda komited untuk memerangi rasuah dalam sistem, maka anda perlu menunjukkan contoh yang baik.

"Calon anda tidak boleh dibenarkan mengemukakan kertas penamaan calon pada hari penamaan calon ketika dia masih melalui kes di mahkamah, itu pendirian kita," katanya ketika ditemui selepas program Jelajah Prihatin Parlimen Tambun di Taman Klebang Jaya, Ipoh, pada Khamis.

Menurutnya, telah menjadi kebiasaan untuk Jemaah Menteri menyediakan pengisytiharan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas sesebuah kerajaan dibentuk.

Beliau berpendapat, langkah itu perlu diteruskan untuk memastikan pimpinan dalam kerajaan dapat mematuhi peraturan dan tidak terjebak dalam amalan rasuah.

Terdahulu, media melaporkan beberapa calon telah mengisytiharkan aset mereka susulan syarat yang dikenakan oleh parti masing-masing.