MARANG: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyatakan tiada keperluan untuk mengisytihar harta ketika kempen Pilihan Raya Umum (PRU15) ini dan ia sepatutnya dibuat bertahun lalu.

Jelasnya, calon-calon daripada Pas pada PRU15 ini tidak memiliki harta yang banyak dan masyarakat sendiri lebih memahami kondisi kewangan calon parti itu, maka tiada keperluan untuk berbuat sedemikian.

“Harta kita tak banyak, orang (calon parti) lain harta mereka jutaan ringgit, kita hanya ratusan ribu ringgit sahaja.

“Bagi pihak lawan yang mainkan isu ini, mereka tidak mampu menjatuhkan kami, kerana setelah perintah Kelantan, Terengganu dan Kedah, tiada seorang pun Ahli Parlimen Pas disabit di mahkamah, tidak seperti Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN),” jelas Abdul Hadi ketika sidang media di kediamannya di Marang pada Jumaat.

Walau bagaimanapun, jelas Abdul Hadi tidak menjadi satu masalah jika ada pemimpin untuk isytihar harta.

“Tiada masalah untuk pemimpin isytihar harta, tapi janganlah sekadar nak menunjuk dekat orang semata-mata ketika PRU15.

“Janganlah nak isytihar harta pada PRU15 ini semata-mata nak tunjuk kita baik,” jelasnya.

Terdahulu, sebahagian besar daripada 72 calon PKR membuat pengisytiharan aset mereka sejak beberapa hari lalu.