CYBERJAYA: Calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dari Barisan Nasional (BN) akan mengisytiharkan harta mereka setelah dilantik sebagai anggota Kabinet, kata Khairy Jamaluddin.

Calon BN bagi kerusi Parlimen Sungai Buloh itu berkata ia adalah selaras dengan amalan parti iaitu pengisytiharan harta akan dilaksanakan selepas kerajaan dibentuk.

"PKR nak buat tak apalah, tapi rakan PKR (DAP) pun tak ikut sama jugak. Jadi masing-masing ada pendirian. Pendirian kami (BN) adalah untuk buat (isytihar harta) setelah dilantik pada jawatan kerajaan," katanya sebagai mengulas tindakan ahli politik dari PKR yang telah mengisytiharkan harta mereka sebelum PRU15 dan dokumen tersebut boleh dilihat menerusi laman khas https://calonkeadilan.org/.

Bercakap pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Pengoperasian Hospital Cyberjaya di sini hari ini, Khairy yang juga Menteri Kesihatan berkata aspek pengisytiharan harta merupakan perkara penting dan beliau sendiri tidak mempunyai sebarang kekangan untuk mengisytiharkan hartanya.

"Saya tiada apa-apa masalah untuk isytihar harta apabila dipilih dan juga dilantik. Ini memang amalan kita sejak dulu lagi dan saya telah isytiharkan harta saya dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," katanya.

SEMAK CALON PRU15 DI SINI!


[LAPOR LANGSUNG] PRU15: 'Perlis bukan lagi kubu kuat UMNO, kemelut politik untungkan Pas'

Semakan menerusi laman khas tersebut menampilkan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengisytiharkan harta lebih RM11 juta manakala Pengerusi Penasihat PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengisytiharkan harta bernilai RM1.4 juta.

Sementara itu, ditanya mengenai cita-citanya untuk menjadi perdana menteri adalah sama seperti hasrat Anwar untuk menerajui negara, beliau secara ringkas berkata tidak salah bagi sesiapa untuk mempunyai cita-cita.

"Saya cuma beri bayangan yang saya ingin berkhidmat untuk negara dan juga rakyat jika diberi peluang.

"Saya juga ingin diberikan peluang kemudian nanti untuk mengemudi kerajaan kita sebab kita nak tunjuk bahawa UMNO dan BN ini tidak ketandusan pemimpin yang boleh terajui kerajaan satu hari nanti," katanya.

-- BERNAMA