KUALA LUMPUR : Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sewajarnya dibiarkan melaksanakan program atau dasar yang telah dirangka untuk kesejahteraan terlebih dahulu, kata Pengarah Strategik Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Menurut Ahli Parlimen Kuala Selangor itu, Ismail Sabri tidak sewajarnya terus-menerus ditekan oleh pimpinan parti UMNO sendiri untuk membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Dalam masa sama, Dr Dzulkefly berkata, Pakatan Harapan (PH) masih memberi tumpuan berdasarkan memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani dengan Perdana Menteri selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong untuk kestabilan negara.

“Sejujurnya dalam suasana simpang-siur dan hiruk-pikuk politik ini, saya sejujurnya mahu sebutkan bahawa asalnya kita harus izinkan Perdana Menteri yang mempunyai beberapa program yang mahu dilangsungkan dan dilunaskan.

“Tumpuan kita apabila menandatangani MoU dulu adalah untuk menyahut titah YDP Agong untuk menstabilkan negara, memastikan suhu politik turun dan juga memberi fokus kepada pemulihan ekonomi serta keselamatan kesihatan awam.

“Itu yang seharusnya menjadi sesuatu yang kita dokong. Namun saya lihat orang politik tertentu, bukan saya cakap secara umum, nampak semacam mahu dibubarkan Parlimen segera,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian dalam sidang media ketika diminta mengulas mengenai desakan pimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) agar Ismail Sabri segera membubarkan Parlimen.

Terdahulu Dr Dzulkefly, yang juga bekas Menteri Kesihatan, menghadiri program Kempen Keselamatan Jalanraya Parlimen Kuala Selangor, Khusus bagi Para Riders P-Hailing di Kuala Selangor, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, Amanah serta PH sentiasa bersedia seandainya Parlimen akan dibubarkan dalam masa terdekat.

“Ini adalah dinamika politik harus kita jangka, tapi PH dengan pendedahan dibuat hari ini lebih bersedia untuk berdepan dengan PRU15.

“Rakyat semakin jelas apa diperjuangkan baik dari pihak PH, BN mahupun PN (Perikatan Nasional). Rakyat memandang dan menilai perkara ini. Kami ada 22 bulan (sebagai kerajaan PH), PN ada 17 bulan dan 13 bulan untuk PM ke-9 (Ismail Sabri).

“Jadi dengan apa berlaku di mahkamah semuanya, kita akan terus mengangkat dan membina negara serta fokur usaha membanteras rasuah, salah guna kuasa pecah amanah dan sebagainya. Itu adalah cita-cita kami untuk bangunkan kembali negara ini,” tegas beliau lagi.