PUTRAJAYA: Jangan terlalu fikirkan kuasa sebaliknya fokus kepada persediaan dan perbelanjaan kerajaan sekiranya perlu mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dalam tahun ini juga.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, perbelanjaan pasti akan meningkat sekiranya enam negeri tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Tegasnya, meskipun kenyataan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO baru-baru ini adalah pandangan parti itu sendiri namun dua perkara tersebut harus menjadi pertimbangan jika mahu PRU15 diadakan pada tahun ini.

BACA: MKT UMNO mahu Parlimen dibubarkan tahun ini - Ahmad Maslan

Begitupun, Ahli Parlimen Tambun itu menegaskan partinya sudah bersedia untuk berhadapan pilihan raya, tidak kira diadakan pada tahun ini atau tahun hadapan.

“Tentunya kita dah tahu, kalau tak tahun ini, tahun depan pilihan raya dan tahun depan itu pun dah dekat. Persiapan telah kita lakukan.

Desakan PRU-15 | Keputusan MKT UMNO satu tindakan tergesa-gesa - Penganalisis

“Saya yakin Bersatu yang menolak kemungkaran, salah guna kuasa, nak beri perkhidmatan kepada rakyat, memikirkan masalah rakyat, ekonomi dan sebagainya, saya yakin rakyat bersama dalam keadaan itu.

“Namun rakyat juga nak lihat kestabilan dalam pihak kami agar dapat menubuhkan kerajaan stabil pada masa akan datang.

“Kami yakin dapat lakukan perkara itu bersama rakan-rakan kongsi kami dalam Perikatan Nasional,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Pelepasan KBS Trial Run 2022 di Taman Cabaran, di sini pada Ahad.

MKT UMNO setuju pembubaran Parlimen bagi PRU15 diadakan tahun ini

Astro AWANI pada Jumaat melaporkan mesyuarat MKT UMNO bersetuju untuk Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat, bagi membolehkan PRU15 diadakan tahun ini juga.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, berdasarkan keputusan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mempersembahkan tarikh pembubaran kepada Yang di-Pertuan Agong selaras Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, keputusan itu berasaskan pendirian konsisten UMNO sejak awal untuk memulangkan mandat rakyat yang tertangguh akibat COVID-19, selepas kerajaan Pakatan Harapan ‘runtuh’ akibat persengketaan dalaman.