KUALA LUMPUR : Selepas pengumuman bahawa Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal merebut kerusi Parlimen Tambun, tumpuan teralih kepada figura lain dalam parti yang diterajui Presiden PKR tersebut.

Antaranya, sudah pasti Pengerusi Majlis Penasihat PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang masih belum dimuktamadkan kerusi yang bakal ditandinginya.

Memandangkan Wan Azizah merupakan penyandang kerusi Parlimen Pandan, spekulasi bertiup kencang bahawa beliau bakal berpindah kerusi memandangkan Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli bakal kembali
ke kerusi yang dimenangi beliau pada PRU13.

Kerusi Permatang Pauh juga dijangka bakal ditandingi penyandang kerusi ketika ini, iaitu anak Wan Azizah sendiri, Nurul Izzah Anwar.

Oleh itu, dimanakah kerusi yang bakal ditandingi Wan Azizah pada PRU15 sekiranya cadangan untuk mencalonkan beliau diterima pimpinan Pakatan Harapan?

Astro AWANI melihat dengan lebih dekat pola pengundian kerusi di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur untuk mencongak kemungkinan kerusi yang bakal ditandingi bekas Timbalan Perdana Menteri tersebut.

Daripada 22 kerusi Parlimen di Selangor, terdapat 13 kerusi berpotensi yang boleh ditandingi PKR berdasarkan agihan kerusi antara komponen dalam PH.

Namun, secara realistik, selepas menolak kerusi yang masih dijangkakan bakal ditandingi penyandang buat masa ini, hanya enam kerusi yang berpotensi ditandingi iaitu Sabak Bernam, Sungai Besar, Tanjong Karang, Gombak, Ampang dan Kuala Langat.

Berdasarkan keputusan-keputusan sebelum ini dan sejarah pencapaian sokongan oleh PKR di kawasan-kawasan ini, hanya Gombak, Ampang dan Kuala Langat boleh dipertimbangkan untuk ditandingi.


Kebetulan juga, penyandang kerusi-kerusi ini juga merupakan bekas pemimpin tertinggi PKR iaitu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Zuraida Kamaruddin dan Datuk Dr Xavier Jayakumar.

Oleh itu, ada kemungkinan PKR bakal menghantar nama besar seperti Wan Azizah untuk merampas kembali mana-mana kerusi yang telah 'terlepas' dari tangan parti itu selepas PRU14.

Wan Azizah juga berpotensi diletakkan di salah satu Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, memandangkan PKR mempunyai sokongan yang kukuh di kawasan ini.

Daripada 11 kerusi yang dipertandingkan di Kuala Lumpur, ada 5 kerusi yang boleh ditandingi Wan Azizah berdasarkan agihan kerusi antara komponen PH di kawasan ini.

Selepas menolak kerusi yang dijangkakan bakal ditandingi penyandang buat masa ini, hanya 2 kerusi yang berpotensi ditandingi iaitu Wangsa Maju dan Bandar Tun Razak.


Penyandang kerusi Wangsa Maju, Datin Paduka Tan Yee Kew telah mengumumkan hasratnya untuk tidak bertanding kali ini manakala Bandar Tun Razak dipegang Datuk Kamarudin Jaffar yang telah meninggalkan PKR untuk menyertai Bersatu ketika 'Langkah Sheraton' pada 2020. 

Oleh itu, kerusi manakah bakal ditandingi Wan Azizah?

Mungkin salah satu dari lima kerusi ini.

Untuk kepastian, hanya pengumuman rasmi dari Pakatan Harapan dapat menjawab teka-teki ini.