JOHOR BAHRU: Johor menggantikan Hari Pelepasan Am pada Jumaat, 18 November sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kepada Ahad, 20 November ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, persetujuan itu dibuat selepas mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Katanya ini juga sebagai tanda penghargaan kepada rakyat Johor yang keluar mengundi bagi menunaikan tanggungjawab mereka.

"Percayalah, setiap daripada undi anda akan memastikan proses demokrasi dan pembangunan negara terus berkembang. Ini adalah demi kesejahteraan hidup rakyat di Johor dan Malaysia amnya, melangkaui lima tahun akan datang.

"Bagi Hari Kelepasan Am yang jatuh pada 18 November, setelah mendapat perkenanan Sultan Ibrahim, Kerajaan Negeri bersetuju untuk menggantikannya dengan cuti gantian pada 20 November 2022 (Ahad)," katanya dalam hantaran di media sosial Facebook di sini, hari ini.

Pada 19 November, Sabtu ini, rakyat Malaysia akan sekali lagi menunaikan tanggungjawab membuang undi bagi PRU15.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan Hari Pelepasan Am pada 18 dan 19 November 2022 (Jumaat & Sabtu), bagi memudahkan rakyat Malaysia pulang untuk mengundi.