KUALA LUMPUR: Tekanan ke atas Pengerusi Barisan Nasional, yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semakin meningkat, apabila lebih ramai pemimpin kanan parti mendesaknya untuk mengundurkan diri.

Terbaharu, ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Khaidhirah Abu Zahar turut menyarankan agar Ahmad Zahid mengundur diri, supaya parti boleh melakukan perubahan yang mutlak.

Katanya lagi, biarpun rakyat menolak pentadbiran 22 bulan Pakatan Harapan, keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak menjadikan barisan kepimpinan UMNO sebagai pilihan mereka kali ini.

“Walaupun telah ramai memperkata dan memperingatkan agar parti perlu lebih berhati-hati dan berubah, tetapi tidak diendahkan.

"Akhirnya rakyat sendiri terpaksa menyingkirkan UMNO. Bukan sahaja pemimpin besar UMNO yang lain, bahkan turut mengorbankan sahabat-sahabat saya, pelapis muda, yang berpotensi dalam UMNO dan Barisan Nasional,” katanya lagi.

Perubahan baharu Malaysia pasca PRU15, kata Khaidhira, memberi signal jelas daripada rakyat untuk UMNO agar lebih serius melakukan perubahan tampuk kepimpinan selari dengan denyut nadi rakyat.

Mengulas lanjut, beliau berkata, era parti terbesar dan memiliki ahli teramai yang mampu menjanjikan kemenangan telah berlalu, dan hakikatnya, peratusan ahli UMNO sebagai pengundi jauh lebih kecil daripada pengundi bukan parti.

Khaidhira berkata, sebagai pemimpin muda dalam parti, beliau juga menyahut seruan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bahawa agar Zahid mengundurkan diri dengan segera.

“Bahkan dalam situasi genting hari ini, sebarang bentuk rundingan perlu dibawa ke meja perbincangan Majlis Kerja Tertinggi UMNO. Namun, saya menzahirkan rasa kecewa kerana seolah-olah MKT sebagai pembuat keputusan tertinggi diketepikan dan mesyuarat MKT dibatalkan.

“Parti memerlukan perubahan mutlak mendengar suara hati rakyat. Bukan sahaja kehendak akar umbi UMNO semata, tetapi kehendak hati nurani rakyat sebagai pengundi majoriti,” katanya lagi.