SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan kekal dengan pendirian untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu serentak dengan pembubaran Parlimen.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, beliau bagaimanapun, menyerahkan sepenuhnya kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) dan bersedia berdepan segala perubahan.

Aminuddin berkata, cadangan kerajaan negeri sebelum ini untuk tidak membubarkan kerajaan negeri juga telah mendapat perkenan Yang di Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

“Cerita tentang persetujuan untuk kita tangguh ini sebenarnya sebelum Majlis Presiden PH umumkan pun, saya telah dapat perkenan Tuanku.

“Tuanku menitahkan terpulang kepada kerajaan negeri dan ketika itu apabila kita maklumkan nak buat (pilihan raya) tahun depan, Tuanku tidak ada halangan,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri, di sini, hari ini.

Katanya, dalam sesi menghadap baru-baru ini, Tuanku Muhriz bertitah menyerahkan keputusan pembubaran kepada kerajaan negeri selagi masih mempunyai mandat selain mengingatkan untuk mengutamakan kesejahteraan rakyat.

“Tuanku juga serius tentang fokus untuk saya selesaikan isu rakyat terutamanya masalah rakyat yang mana ketika itu keputusan kita adalah untuk adakan pilihan raya tahun depan.

“Saya maklum kita nak buat tahun depan dan Tuanku kata kalau ada mandat ketika itu boleh lah kerana kita ada masa lagi,” tambah Aminuddin.

Dalam masa sama, Menteri Besar menyedari terdapat segelintir pemimpin negeri yang menyokong sekiranya pilihan raya diadakan serentak dan beranggapan semua pihak berhak menyuarakan pandangan masing-masing.

Namun, katanya, walaupun jentera PH sudah bersedia, ia merasakan adalah tidak wajar untuk mengadakan pilihan raya negeri tahun ini berikutan ramalan cuaca buruk dan banjir.