KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan mengumumkan Hari Kelepasan Am pada Ahad, 20 November depan bagi memberi kemudahan dan peluang perantauan pulang menunaikan tanggungjawab untuk mengundi pada 19 November sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob menerusi satu kenyataan pada tengah hari tadi.

"Pada 14 November 2022, Perdana Menteri telah mengumumkan bahawa tarikh 18 dan 19 November 2022 (Jumaat dan Sabtu) sebagai Hari Kelepasan Am seluruh Malaysia bagi memudahkan rakyat Malaysia menunaikan tanggungjawab masing-masing untuk keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 yang telah ditetapkan pada hari Sabtu, 19 November 2022.

"Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bersidang pada 16 November, hari ini bersetuju untuk mengisytiharkan tarikh 18 dan 19 November (Jumaat dan Sabtu) sebagai Hari Kelepasan Am bagi seluruh Negeri Kelantan," katanya.

Ahmad berkata memandangkan Hari Kelepasan Am tersebut jatuh pada Hari Kelepasan mingguan bagi negeri Kelantan iaitu pada hari Jumaat dan Sabtu maka hari berikutnya iaitu pada Ahad, 20 November dijadikan sebagai Hari Kelepasan Am.

Beliau berkata keputusan itu dibuat selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Negeri Bilangan 7 Tahun 1996.

Pengisytiharan Hari Kelepasan Am ini adalah bagi memberi kemudahan dan peluang kepada rakyat khususnya yang bertugas di negeri Kelantan untuk keluar atau pulang mengundi dalam PRU15 di kawasan masing-masing pada Sabtu, 19 November ini.