PEKAN: Ibu Datuk Mohd Nizar Najib, Tengku Puteri Zainah Tengku Eskandar, 66, bersama beberapa ahli keluarganya hadir ke pusat penamaan calon P85 Pekan di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah di sini bagi memberi sokongan kepada calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Peramu Jaya itu.

Kehadiran beliau mencuri perhatian malah membangkitkan semangat kira-kira 2,000 penyokong BN yang hadir.

Turut bersama, adik Mohd Nizar, Datuk Nazifuddin Mohd Najib.

Nazifuddin berkata, kehadiran beliau bersama ibu dan adik-beradik lain pada hari penamaan calon bagi Parlimen dan DUN di Pekan itu untuk memberi sokongan kepada abangnya yang turut bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Menurutnya, beliau dan keluarga menyokong penuh keputusan Mohd Nizar untuk bertanding kali ini bagi meneruskan perjuangan ayah mereka, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

"Kami sekeluarga akan membantu beliau (Mohd Nizar) dari belakang bagi memastikan kemenangannya di kerusi ditandingi.

"Kami yakin pengundi akan terus bersama beliau dan calon BN lain sebagai solidariti terhadap ayahanda (Najib) yang kini sedang menjalani hukuman penjara.

"Biar apa pun terjadi, rakyat Pekan tetap setia dan terus menyokong BN dan UMNO pada PRU15 ini" katanya ketika ditemui pada Sabtu.

Nazifuddin berkata, sebagai calon muda dan berlatar belakang profesional, beliau yakin abangnya dapat memberi khidmat terbaik untuk rakyat Pekan sekiranya diberi mandat sebagai wakil rakyat di Peramu Jaya.

"Saya percaya dia ada strategi sendiri sepanjang tempoh berkempen terutama dalam mendekati anak muda dan pengundi secara keseluruhannya.

"Berilah peluang dan kepercayaan supaya beliau dapat berkhidmat di Pekan ini sepenuh masa dan meneruskan legasi ayahanda dan datuk, Allahyarham Tun Razak di sini," katanya.

Sebagai ahli keluarga, Nazifuddin dan keluarga sentiasa mendoakan kejayaan Mohd Nizar dalam perjuangan membela rakyat Pekan dan membawa lebih kemajuan untuk daerah itu.

Pada PRU15 ini, Mohd Nizar yang juga Ketua Pemuda UMNO Pekan berdepan saingan empat penjuru antara calon Perikatan Nasional (PN) Abu Talib Muhammad, Tugimon Abdul Hamid (PH) dan calon Bebas, Datuk Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin.

Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.