TANGGA BATU: Keputusan Naib Presiden Bersatu, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen meninggalkan parti sekali gus melepaskan semua jawatannya adalah bersifat peribadi.

Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub berkata, tindakannya itu juga tidak melibatkan jawatankuasa dan sayap Bersatu Bahagian Tangga Batu.

“Bersatu Melaka mengambil maklum atas peletakan semua jawatan dan keahlian Datuk Mohd Rafiq dan kenyataan beliau itu bersifat peribadi.

“Bersatu negeri ini juga terus kukuh menyokong kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden Bersatu dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN),” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

BACA: PRU15: Mohd Rafiq umum keluar Bersatu, lepas jawatan Naib Presiden

Mengulas lanjut beliau yang juga Pengerusi PN negeri berkata, keputusan itu juga tidak menjejaskan komitmen jentera Bersatu dan PN negeri bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU15) November ini.

Katanya, parti itu juga meletakkan tekad untuk memastikan kemenangan sesiapa sahaja calon PN yang akan dinamakan oleh pucuk pimpinan di semua enam Parlimen di negeri ini.

“Bersatu Melaka mengucapkan jutaan terima kasih kepada Datuk Mohd Rafiq atas segala jasa yang telah dicurahkan dan semoga beliau terus maju jaya.

“Kami kekal komited mempersiapkan jentera dan berikrar untuk terus bekerja bersungguh-sungguh bagi memastikan PN menang waima siapa pun calon yang akan dinamakan pihak pusat dalam masa terdekat,” tambahnya.

Mohd Rafiq hari ini mengumumkan keluar daripada parti berkenaan sekali gus melepaskan semua jawatannya dalam parti itu.

Beliau berkata, peletakan jawatan itu susulan tidak dicalonkan parti di kerusi Parlimen Tangga Batu pada PRU15 meskipun sudah dijanji oleh pucuk pimpinan.