TANGGA BATU: Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen mengumumkan keluar parti sekali gus melepaskan semua jawatannya dalam parti itu.

Beliau berkata, peletakan jawatan itu susulan tidak dicalonkan parti di kerusi Parlimen Tangga Batu pada Pilihan Raya Umum (PRU-15), meskipun sudah dijanjikan oleh pucuk pimpinan sebelum ini.

Katanya, surat rasmi berhubung peletakan jawatannya juga telah diserahkan kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

BACA: PRU15: Mohd Rafiq setia pada Presiden Bersatu - Ahmad Faizal

Naib Presiden Bersatu umum keluar parti serta-merta

“Pada peringkal awal, saya telah dimaklumkan oleh pucuk pimpinan tertinggi Bersatu bahawa saya akan dinamakan sebagai calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Tangga Batu. Namun demikian, beberapa hari lepas, saya telah dihubungi Presiden dan Timbalan Presiden (Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu) memaklumkan nama saya tidak akan dicalonkan di Parlimen ini.

“Sebaliknya saya ditawarkan bertanding di beberapa kerusi alternatif lain termasuk Parlimen Bagan Datuk yang bakal ditandingi oleh Presiden UMNO (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) yang mana dalam konteks ini, saya merasakan struktur parti tidak lagi dihormati.

“Setelah memikirkan secara mendalam serta mengadakan perbincangan dengan beberapa pimpinan, ahli-ahli parti serta keluarga saya, maka dengan ini saya ingin mengumumkan kepada semua peletakan jawatan saya serta pemberhentian saya sebagai ahli parti berkuat kuasa serta-merta,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di sebuah hotel di sini pada petang Ahad.

Mengulas lanjut katanya, beliau mengakui kecewa apabila ditawarkan di tiga kerusi Parlimen lain di luar Melaka dan terkilan khidmat baktinya selama enam tahun di Parlimen Tangga Batu tidak diberi pertimbangan yang adil dan sewajarnya.

“Tambahan pula, menjadi amalan dan tradisi bagi mana-mana parti politik di negara ini untuk memberi keutamaan kepada pemegang jawatan tertinggi parti seperti Naib Presiden parti untuk dipertimbangkan sebagai calon di kawasan yang dipimpinnya.

“Pelbagai inisiatif dan program membantu rakyat seperti Gerai Prihatin Rakyat telah saya mulakan untuk masyarakat Parlimen Tangga Batu walaupun tidak lagi mempunyai peruntukan wakil rakyat dan alhamdulillah, kini konsep itu telahpun diguna pakai oleh Bersatu dan PN di seluruh negara,” katanya.

Sementara itu berhubung hala tuju polititiknya, beliau mengesahkan tidak akan bertanding di kerusi berkenaan atas tiket Bebas seperti didakwa sesetengah pihak.

“Walaupun saya tidak bertanding pada PRU15 ini, saya dan rakan-rakan akan meneruskan perjuangan dan khidmat bakti kami menerusi platform NGO di Parlimen Tangga Batu, peringkat negeri dan nasional.

“Hubungan saya dengan presiden parti juga masih baik yang mana saya menghormati beliau sebagai pemimpin tertinggi dan berhubung ahli parti lain yang bersama saya, saya tidak minta mereka bersama- sama dan untuk keluar parti atau tidak... itu hak masing-masing,” katanya.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka November lalu, Mohd Rafiq yang ketika itu merupakan Pengerusi PN negeri tewas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas dalam persaingan empat penjuru bersama BN dan Pakatan Harapan (PH).

BN berjaya merampas kerusi berkenaan daripada Bersatu dengan majoriti 2,076 undian sekali gus menyaksikan Mohd Rafiq melepaskan jawatan Pengerusi PN negeri dan Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri.

Desas-desus Mohd Rafiq bakal membuat pengumuman keluar parti tersebar sejak berapa hari lalu, namun pagi tadi Ahmad Faizal, menegaskan Mohd Rafiq telah menyatakan taat setia kepada Muhyiddin.

“Malam semalam saya tengok dalam kumpulan WhatsApp, beliau sebut bahawa beliau taat dan setia kepada Tan Sri Muhyiddin (Yassin) selaku Presiden Bersatu.

“Jadi spekulasi mengatakan beliau nak umum keluar parti itu, saya tak dapat nak pastikan.

“Saya harap beliau sebagai seorang sahabat, (Mohd Rafiq) kekal istiqamah dalam apa juga keadaan untuk terus bersama sama dengan Bersatu dan PN yang akan ambil bahagian dalam PRU yang akan diadakan tidak lama lagi,” katanya dilaporkan hari ini.

Pada Sabtu, media melaporkan timbul desas-desus kononnya Mohd Rafiq dikatakan bakal membuat pengumuman keluar parti dalam masa terdekat.

Khabar angin berkenaan mula tersebar luas dalam kalangan akar umbi parti selepas pemimpin kanan parti itu dikatakan tidak akan dicalonkan di kerusi Parlimen Tangga Batu meskipun pengumuman rasmi oleh gabungan PN belum dibuat.