KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin mengeluarkan kenyataan menghargai keputusan Jawatankuasa Pas Pusat untuk memperkukuhkan kerjasama dalam PN dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Keputusan ini, katanya, memberikan suntikan semangat kepada gabungan itu untuk bergerak dengan lebih tersusun dan bersatu-padu dalam meraih sokongan rakyat.

Muhyiddin turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas semangat setiakawan yang ditunjukkan oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan rakan-rakan pimpinan Pas yang terus beristiqamah mempertahankan kerjasama Pas dalam PN.

Beliau mendoakan semoga PN mendapat mandat rakyat dalam PRU15 untuk membentuk sebuah kerajaan yang benar-benar memberi tumpuan kepada kesejahteraan dan kemakmuran rakyat.


Terdahulu, Abdul Hadi memutuskan untuk memperkukuhkan kerjasama dalam PN.

BACA: PRU15: Pas pilih PN, tidak bubar DUN Kelantan, Terengganu, Kedah

Menurutnya, kerjasama dengan PN bagi menghadapi PRU15 itu dibuat atas prinsip penyatuan ummah sekali gus menamatkan pelbagai spekulasi mengenai hubungan Pas dan UMNO menerusi Muafakat Nasional.