KUALA LUMPUR: Selepas lama berteka-teki mengenai hubungan dengan UMNO menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat pada Khamis, akhirnya memutuskan untuk memperkukuhkan kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN).

Menerusi satu kenyataan, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, kerjasama dengan PN bagi menghadapi PRU15 itu dibuat atas prinsip penyatuan ummah.

Menurut Abdul Hadi, mesyuarat itu juga memutuskan untuk Pas memuktamadkan perbincangan kerusi-kerusi di negeri dengan PN.

BACA: "Pilih PN atau UMNO pada PRU15" - Kata dua UMNO kepada Pas

Jelasnya, semua calon daripada peringkat negeri perlu diangkat untuk penilaian Majlis Syura Ulama terlebih dahulu.

Dalam pada itu, berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), Abdul Hadi berkata mesyuarat itu memutuskan untuk mengekalkan pendirian tidak membubarkan DUN Kelantan, Terengganu dan Kedah.

PRU15 | Pas tuntut Zahid perjelas UMNO mahu bergerak solo

Kenyataan terbaharu Pas itu dilihat seolah-olah menamatkan spekulasi berkaitan hubungan parti itu dengan UMNO yang acap kali dibangkitkan sebelum ini.

Astro AWANI sebelum ini melaporkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengulangi kata dua kepada parti Pas iaitu memilih sama ada untuk bersama UMNO atau PN dalam menghadapi PRU15.

Presiden UMNO itu menegaskan, keengganan Pas memenuhi syarat yang ditetapkan itu hanya akan menyaksikan Barisan Nasional (BN) bergerak secara sendirian pada PRU15.

PRU15 | Tiada peluang kukuhkan semula Muafakat Nasional

Seandainya syarat itu dipenuhi pula, Pas, tegas Ahmad Zahid, mesti memutuskan hubungan dalam kerjasama bersama PN secepat mungkin walaupun tidak mendedahkan tempoh sebenar yang diberikan kepada parti tersebut.

Abdul Hadi kemudian menerusi catatan di Facebooknya memberi gambaran bahawa parti itu akan terus mengusahakan kerjasama antara parti Melayu utama termasuk UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

BACA: Pas gagal penuhi syarat, UMNO isytihar lawan

Menurut beliau, Pas akan tetap berpegang dengan pendekatan pertengahan atau konsep wasatiyyah bagi mempertahankan PN.

Tambahnya, Pas sangat mengharapkan supaya perpaduan berjaya diusahakan sehingga berjaya menubuhkan kerajaan campuran PN bersama parti-parti dari Sabah dan Sarawak, bergabung bagi mempertahankan kepimpinan Melayu Islam dan Bumiputera.