KUALA LUMPUR: Kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dengan mana-mana parti dalam kerajaan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) belum dimuktamadkan, kata Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Salahuddin menjelaskan, sebarang perbincangan dengan mana-mana parti termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sedang diteliti oleh pucuk pimpinan PH

Menurut Ahli Parlimen Pulai itu, perbincangan dengan parti lain termasuk Bersatu tidak boleh dihalang kerana ia sebahagian daripada polisi dalam PH.

"Ada orang tanya tentang perbincangan dan khemah besar yang sedang diusahakan itu adakah ia termasuk dengan Bersatu dan parti-parti lain yang hari ini menjadi pembangkang di peringkat negeri walaupun mereka bersama di peringkat federal (Persekutuan).

"Itu yang kita sedang teliti dan kita boleh mengadakan perbincangan, itu polisi dalam Pakatan Harapan, boleh jumpa, boleh minum kopi, boleh ziarah itu tidak ada masalah.

"Tetapi setakat ini saya ingin umumkan belum ada apa-apa yang kita boleh dimuktamadkan lagi tentang rakan-rakan yang lain yang berada disebelah kerajaan.

"Kita akan perkemaskan dahulu kekuatan kita diperingkat pembangkang ini supaya PH benar-benar dilihat dan kembali membina keyakinan rakyat," katanya kepada Astro AWANI.

Pada Ahad, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan usaha partinya mengadakan pertemuan dengan parti lain dalam membentuk kerjasama bagi menghadapi PRU15 menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan.

Kata Muhyiddin, pihak terbabit juga menyatakan kesediaan dalam mengadakan perbincangan, yang digambarkan akan memberi keuntungan kepada kedua-dua belah pihak.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata, usaha membina kembali keyakinan rakyat amat penting kerana ia adalah sebahagian gerak kerja PH dalam usaha menarik sokongan dalam PRU15 kelak.

Beliau berkata, keyakinan yang dibina mampu menarik rakyat untuk keluar mengundi dan seterusnya menambah peratusan keluar mengundi.