PUTRAJAYA: Perikatan Nasional (PN) masih meneliti keputusan kerjasama dengan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurut Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, perkara itu akan dibawa ke mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi PN sebelum diputuskan.

Sebelum keputusan itu dicapai, Hamzah berkata, apa yang perlu dipastikan terlebih dahulu ialah apakah gabungan Gerakan Tanah Air (GTA) yang menaungi Pejuang sudah berdaftar atau sebaliknya.

"GTA sudah daftar ke belum? Pejuang adalah salah satu parti yang telah pun ditubuhkan maka mana-mana parti ditubuhkan mempunyai hak bekerjasama dengan sesiapa pun.

"Kita dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin mengatakan dia bersedia, dia perlu membawa ke Mesyuarat Tertinggi kemudian kita kena bincangkan perkara ini," jelasnya.

Hamzah berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Hari Pendaftaran Negara ke-74 tahun 2022 di ibu pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), di sini, pada Isnin.

Dalam masa sama, Hamzah menegaskan, sebarang keputusan yang akan dibuat perlu mengambil kira pandangan semua parti di bawah PN.

"Bukan mudah kita kata ‘yes’ kerana kita mempunyai rakan-rakan dalam PN sendiri," katanya.

Mengulas mengenai persiapan pembahagian kerusi di antara parti-parti di bawah PN pula, jelas Hamzah, perkara itu juga masih diteliti.

"Pembahagian kerusi kita tengok secara teliti kerana kita ada beberapa konsep (yang) kita lihat," jelas Hamzah lagi.