Hashim Hamzah angkat sumpah jawatan Hakim Besar Malaya

Hakim Besar Malaya Datuk Hashim Hamzah pada Majlis Mengangkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia Hakim Besar Malaya serta Hakim Mahkamah Persekutuan di Istana Kehakiman hari ini. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Hashim Hamzah hari ini mengangkat sumpah jawatan dan taat setia sebagai Hakim Besar Malaya.
Ringkasan AI
- Datuk Hashim Hamzah, 64, dilantik sebagai Hakim Besar Malaya menggantikan Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim yang bersara pada 15 Nov lepas.
- Empat hakim Mahkamah Rayuan juga diangkat sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan hari ini, termasuk Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan Datuk Azimah Omar.
- Hashim, lulusan fakulti undang-undang Universiti Malaya, telah berkhidmat dalam pelbagai jawatan kehakiman sejak tahun 1985 sebelum dilantik ke jawatan tertinggi ini.
Sementara itu, empat hakim Mahkamah Rayuan mengangkat sumpah jawatan dan taat setia sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan di hadapan Ketua Hakim Negara Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh.
Mereka ialah Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, 58, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, 64, Datuk Collin Lawrence Sequerah, 65, dan Datuk Azimah Omar, 63.
Pelantikan semua hakim berkuat kuasa hari ini.
Hashim dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 1 Nov 2012 dan menggalas tanggungjawab sebagai hakim Mahkamah Tinggi dua tahun kemudian. Pada 19 Mac 2021, beliau dilantik sebagai hakim Mahkamah Rayuan.
Dilahirkan di Pulau Pinang, Hashim ialah lulusan fakulti undang-undang Universiti Malaya pada 1985 dan pernah memegang pelbagai jawatan dalam perkhidmatan kehakiman dan perundangan, termasuk sebagai Majistret, hakim Mahkamah Sesyen dan Ketua Unit Pendakwaan di Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Negeri Perak dan Kedah.
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai timbalan pendaftar kanan dan kemudian pendaftar kanan Mahkamah Persekutuan sebelum menyertai badan kehakiman.
Turut hadir pada majlis yang diadakan di Dewan Persidangan Istana Kehakiman itu, Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais, dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Azizah Nawawi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


