MUKAH: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Bahagian Mukah telah bekerjasama dengan Pos Malaysia bagi menangani isu undi pos sampai lewat.

Menurut Pegawai Pengurus Pilihan Raya Bahagian Mukah, Shafrie Saili, ia termasuk melaksanakan libat urus dan komunikasi bersama agensi berkenaan dalam memastikan tiada isu lewat berbangkit.

"Yang ini sebenarnya kita telah membuat satu libat urus dan satu komunikasi yang baik dengan pihak Pos Malaysia.

"Kita menjangkakan perkara ini dapat kita kurangkan lah dari segi isunya sebab pada kali ini kerjasama yang diberikan oleh pihak pos malaysia begitu baik sekali." katanya.

Selain itu, beliau turut menjangkakan keputusan pilihan raya bagi Parlimen Mukah bakal diumumkan  seawal  jam 8.30 malam hingga 9 malam.

Ia disebabkan kebanyakan pusat mengundi bahagian Mukah dijangka tutup pada jam 5.30 petang.

"Keputusan kita jangka sebab pada kali ini kebanyakkan pusat pengundian kita banyak yang tutup 5.30 petang daripada kuala balingan dan sebagainya.

"Jadi, kita menjangkakan keputusan seawal mungkin kita dapat umum ialah mungkin dalam pukul 8.30 ke pukul 9 malam.",ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui media di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah Mukah di Mukah pada Selasa.

Untuk rekod, pusat pengiraan undi bagi Parlimen akan turut dilakukan di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah Mukah pada hari mengundi.