KOTA KINABALU: Khemah besar bukan lagi formula utama bagi pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), berikutan rakyat kini mahukan perubahan.

Presiden Parti Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, isu khemah besar bukan persoalan utama tetapi kini adalah masa untuk semua pihak melihat semula apa yang sebenarnya diinginkan rakyat.

"Kita tidak lagi boleh fikir tentang khemah besar di sana sini. Kita ada khemah besar di (pilihan raya negeri) Melaka, tetapi kita kalah. Kita ada khemah besar di Sarawak, pun kita kalah juga.

"Kenapa? Saya rasa rakyat sudah membuat keputusan, dan kita perlu mencari (apa rakyat mahu) untuk menjadi lebih kuat.

"Kita tidak boleh anggap yang rakyat mesti terima sahaja apa yang kita mahu. Kita perlu bersedia berdepan perubahan rakyat, memenuhi kehendak orang ramai, bukannya kehendak sendiri.

"Jika tidak, keadaan akan jadi sangat rumit," kata Mohd Shafie ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa Bersama Masyarakat Setempat di Kampung Sembulan di sini, semalam.

Sementara itu, ditanya mengenai situasi Warisan bersama Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) selepas kekalahan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang lalu, Mohd Shafie berkata, pihaknya mempunyai hubungan baik dengan semua parti politik yang ada di negara ini.

"Kita punya hubungan yang semuanya baik, oleh kerana kita merupakan parti politik yang merupakan barisan pembangkang.

"Malah kalau di Parlimen, hubungan saya (baik) dengan semua parti, dari Sarawak, dari Semenanjung, UMNO atau Pas.

"Masalahnya, hubungan baik dalam konteks kemanusiaan. Dari segi politik, ideologinya berbeza-beza. Itu kita faham," tambahnya.