KOTA KINABALU: Parti Warisan bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana kerajaan yang terbentuk walaupun hanya memiliki tiga kerusi Parlimen sekali gus mewakili blok borneo, kata Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Presiden Warisan itu berkata, kesediaan tersebut bagi meningkatkan kestabilan politik negara sekali gus membentuk kerajaan yang stabil.

"Apa yang penting kepada kita seperti yang saya nyatakan di peringkat awal, pertama ialah kepentingan Sabah, blok Borneo yang kita katakan bahawa bagaimana kita mahu supaya walaupun jumlahnya agak kecil kerusi yang kita menangi, namun demikian dia boleh menambah kestabilan politik di negara ini.

"Siapa sahaja yang mampu membentuk kerajaan sudah pasti mereka juga memerlukan sokongan daripada parti-parti seperti Warisan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Warisan pada Ahad.

Untuk rekod, Warisan tewas 49 kerusi Parlimen pada PRU15 selain berjaya mengekalkan dua kerusi Parlimen iaitu di Kota Belud (Isnaraissah Munirah Majilis) dan Semporna (Mohd Shafie Apdal) selain berjaya memenangi kerusi Lahad Datu (Mohamad Yusof Apdal).

Melihat kepada kekalahan yang besar itu, Mohd Shafie yang mengekalkan kerusi Parlimen Semporna menerima keputusan PRU15 dengan hati terbuka sambil menyifatkan kekalahan itu adalah tsunami rakyat yang mempunyai aspirasi berbeza dengan tawaran Warisan.

"Saya sedar dan tahu Warisan kehilangan beberapa kerusi di beberapa kawasan tertentu yang mampu kita mempertahankannya. Tapi saya juga sedar ada beberapa gerakan gergasi, 'tsunami' yang berlaku di negara kita sehingga keadaan itu pun berubah ke penghujungnya.

"Namun demikian kita menerima baik apa yang telah dilakukan rakyat di negara ini dan kita kena menghormatinya, keputusan dan ketetapan yang telah dilakukan oleh para pengundi di negara ini," katanya.