KANGAR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis, Mohd Shukri Ramli mengesahkan bahawa telah mengemukakan nama penyandang kerusi Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim untuk bertanding mewakili parti berkenaan di Parlimen Arau didalam Pilihan Raya Umum ke-15, kepada kepimpinan Pas dan PN di peringkat Pusat.

Menurutnya, pemilihan Ketua Bahagian UMNO Arau itu dibuat selepas beberapa perbincangan termasuk dengan Shahidan selepas nama pemimpin itu digugurkan daripada senarai calon Barisan Nasional semalam.

Bagaimanapun jelas beliau, keputusan akhir berhubung pencalonan berkenaan hanya akan diputuskan dalam masa terdekat sebelum hari penamaan calon, 5 November depan (Sabtu).

"Kita sudah sampaikan kehendak Datuk Seri Shahidan untuk bertanding atas tiket PN cumanya terpulang kepada budi bicara (kepimpinan Pas di peringkat) Pusat khususnya Presiden dan Setiausaha Agung.

"(Pemakluman ini) kena dibawa (juga kepada kepimpinan Perikatan Nasional) walaupun kerusi di Arau (telah) diperuntukkan kepada Pas tetapi amalan kita (didalam Pas) akan membawa (perkara ini) kepada pengetahuan (kepimpinan) Perikatan Nasional supaya kita tidak (wujudkan) suasana keruh, dan (kita semua berada dalam keadaan yang) sentiasa harmoni," katanya.

Shukri berkata demikian ketika ditemui Astro AWANI di Kompleks Pas (KomPAS) Perlis, Kangar pada Rabu.



Dalam perkembangan sama, beliau turut menjelaskan bahawa telah dimaklumkan oleh Shahidan berhubung beberapa parti lain turut menghubungi beliau dan menyatakan minat untuk 'melamar' penyandang kerusi Arau itu.

Bagaimanapun, jelasnya, Shahidan diyakini akan membuat pilihan terbaik berdasarkan kebijaksanaan yang dimiliki.

Ikuti semua perkembangan mengenai PRU15. KLIK DI SINI!
   
[LAPOR LANGSUNG] PRU15: Pengumuman calon BN dan PN

Tambah Shukri secara berseloroh, bahawa Ketua Bahagian UMNO Arau itu tidak perlu mengubah imej yang ada pada dirinya sekiranya menjadi calon PN memandangkan pemimpin berkenaan sering 'berjubah'.
 
"(Parti lain turut mengintai) itu semestinya (sudah) berlaku, (tetapi) Datuk Seri Shahidan ini pun orangnya bijak, dia tahu hendak pilih siapa (dan parti mana).

"Saya ingat Datuk Seri Shahidan tak perlu ubah banyak (imej kalau sertai PN) sebab dia pun selalu berjubah," katanya.

PRU15 | Shahidan jangan merajuk, boikot BN


Sementara itu, mengulas mengenai Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Shukri menyatakan bahawa PN negeri menyasarkan untuk memenangi lapan atau sembilan kerusi sekali gus dapat membentuk kerajaan baharu.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan Perikatan Nasional (PN) Perlis mengesahkan kekosongan nama calon kerusi Parlimen Arau adalah untuk memberi laluan kepada Datuk Seri Shahidan Kassim bertanding mewakili pakatan tersebut pada PRU15.

Pengerusi PN negeri, Mohd Shukri Ramli berkata, nama calon kerusi Parlimen Arau itu dikosongkan pada saat akhir kerana rundingan di peringkat Pusat dengan Shahidan masih belum dimuktamadkan lagi.