KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menganggap ramalan beliau akan kalah di kerusi Parlimen Pagoh dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak akan menggugat keyakinannya untuk mengekalkan kemenangannya di kawasan tersebut.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menegaskan, pengundi-pengundi Pagoh lebih mengenali dan mengetahui apa yang telah dilakukan di Parlimen tersebut berbanding pihak-pihak yang membuat ramalan beliau akan tewas.

"Tak apalah (jika ada) orang tak suka saya, jika tidak (ada) yang ramal pun, mereka akan kata biar saya kalah. Tidak mengapa, ia sekadar pandangan.

"Saya berada di sana (Pagoh) hampir setiap hari, dah lama di Pagoh, lebih 40 tahun. Orang Pagoh tahu apa yang saya lakukan. Saya sentiasa menjawab pelbagai isu dan masalah mereka," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi PN.

Dalam masa sama, Muhyiddin optimis kepercayaan kukuh masyarakat di Pagoh tanpa mengira bangsa akan membantunya terus menerajui kerusi Parlimen itu.

"Saya yakin dan percaya sebahagian besar penduduk di Pagoh, termasuk Melayu, Cina, India dan Orang Asli akan bantu bagi saya meneruskan peranan sebagai Ahli Parlimen di Pagoh. Apa pun ramalan, tidak mengapa.

"Ada orang kata saya akan menang cemerlang, ada juga kata saya (bakal) kalah teruk, semuanya saya pertimbangkan.

"Tapi saya tahu denyutan nadi orang Pagoh yang sebahagian besarnya mengharapkan supaya saya beroleh kemenangan," jelas Muhyiddin lagi.

Beberapa pihak terutama pemimpin Barisan Nasional (BN) meramalkan Muhyiddin bakal tewas di Pagoh pada PRU15 yang akan diadakan pada 19 November ini.

Muhyiddin berdepan pertembungan tiga penjuru pada pilihan raya kali ini, dicabar Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Razali Ibrahim yang mewakili BN dan Iskandar Shah yang bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH).