KUALA LUMPUR: Keputusan rasmi setakat pukul 3 pagi Ahad menunjukkan tiada satu pun daripada gabungan parti utama di negara ini dapat membentuk kerajaan secara sendiri, kerana tidak mencapai jumlah majoriti yang diperlukan iaitu 112 kerusi.

Pengumuman terakhir oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh menunjukkan, Pakatan Harapan mendahului dengan 78 kerusi diikuti Perikatan Nasional (73), dan Barisan Nasional (29).

Sementara di sebelah Borneo, Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang dipimpin Tan Sri Abang Johari Tun Openg mempunyai 29 kerusi diikuti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang memperoleh 6 kerusi dan Parti Warisan (3 kerusi).

Sebelum ini penyelidik dan penganalisis politik Asia Tenggara, Bridget Welsh berpendapat, tanpa kepastian yang jelas, terdapat kemungkinan terjadinya hung parliament atau Parlimen tergantung.

Parlimen tergantung, jelasnya lagi, ialah situasi di mana tiada parti politik atau pakatan parti politik tertentu yang mempunyai jumlah ahli atau kerusi Parlimen yang terbanyak dalam Parlimen.

Difahamkan, setakat ini dua ketua parti dengan jumlah kerusi terbesar, iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membuat rundingan dengan parti-parti lain dan dijangka dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

Namun, Muhyiddin dalam sidang media tersebut berkata, pendirian PN jelas, menolak kemungkinan kerjasama dengan PH, sekali gus memberi bayangan bahawa BN merupakan pilihan terbaik untuk mereka adakan persefahaman.

Dalam masa sama, Anwar juga mendakwa, PH sudah pun mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

Ahli Parlimen Tambun itu berkata, PH telah melepasi angka majoriti mudah 112 dan akan menyediakan dokumen bagi menghadap Istana Negara.

Penganalisis politik, Mujibu Abdul Muis sebelum ini dilaporkan sebagai berkata, kejayaan rundingan itu bergantung kepada kewibawaan pemimpin untuk membentuk kerajaan gabungan yang kukuh dan stabil.

Menurut Mujibu, sehingga kini, dapatan daripada semua pengkaji di lapangan menjangkakan tidak ada satu pakatan yang dapat melepasi angka majoriti mudah kemenangan 112 kerusi Parlimen secara sendiri.

Cabaran yang hampir pasti wujud, jelas Mujibu lagi ialah, setiap parti awal-awal lagi meletakkan ‘kaveat’ masing-masing yang membataskan dan menutup terus ruang kerjasama antara mereka.

Bagaimanapun, rata-rata pemerhati bersetuju, Yang di-Pertuan Agong akan menggunakan budi bicara seperti mana tertakluk di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, iaitu baginda boleh melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya, mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan.