PUTRAJAYA: Semua parti politik dinasihatkan mematuhi peraturan terkini yang ditetapkan oleh pihak berkuasa semasa hadir ke pusat penamaan calon (PPC) Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di seluruh negara esok.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, parti politik terutama pencadang dan penyokong yang berarak perlu mematuhi peraturan supaya proses penamaan calon berjalan lancar.

"Harapan SPR dan seluruh rakyat Malaysia agar proses penamaan calon esok berjalan lancar," katanya kepada pemberita selepas meninjau PPC Parlimen Putrajaya di Dewan Serbaguna Kompleks Kejiranan Presint 9, di sini, hari ini.

Antara perkara yang tidak dibenarkan pada hari penamaan calon iaitu penggunaan semua jenis alat muzik ataupun pembesar suara bagi tujuan dakyah politik, melalui apa cara termasuk menerusi penggunaan kenderaan kerana ia merupakan kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pada hari penamaan calon itu juga, hanya calon, pencadang calon dan penyokong calon sahaja dibenarkan masuk ke PPC.

Orang awam serta penyokong-penyokong yang mengiringi calon, dilarang menunggu atau berada dalam jarak 50 meter dari sempadan PPC yang telah ditetapkan.

Mengenai persediaan hari penamaan calon esok, Ikmalrudin berkata persiapan di semua PPC sedang giat dilaksanakan hari ini, oleh semua petugas pilihan raya yang dipertanggungjawabkan.

"Alhamdulillah, persiapan berjalan lancar maknanya Pegawai Pengurus Pilihan Raya di seluruh negara sedang rancak buat persiapan," katanya.

SPR menetapkan 19 Nov sebagai tarikh pengundian, manakala tarikh penamaan calon ditetapkan pada 5 Nov dan pengundian awal pula pada 15 Nov. - BERNAMA