KUALA NERUS: Pas menolak dakwaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendominasi Perikatan Nasional (PN), sebaliknya semua keputusan diputuskan bersama dengan semua komponen dalam PN.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tidak timbul soal dominasi kerana sebarang keputusan oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah melalui mesyuarat bersama lima parti dalam majlis tertinggi.

"Kita ada majlis tertinggi parti yang dibuat oleh semua komponen, iaitu lima parti dalam majlis itu.

"Sama juga dengan BN, orang melihat BN didominasi oleh UMNO sedangkan mereka juga bersama-sama (muafakat), kita (PN) pun sama.

“Bila kita mesyuarat, Tan Sri Muhyiddin adalah pengerusi, semua kenyataan mesti daripada pengerusi bukan bermakna dominasi, tetapi ialah keputusan bersama,” katanya kepada media di pekarangan Pasar Batu Enam di sini, pada Rabu.

Tuan Ibrahim berkata, sebelum Pengerusi PN membuat apa jua keputusan, beliau akan berjumpa Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

“Dia (Muhyiddin) akan datang Terengganu jumpa tuan guru presiden (Abdul Hadi). Saya pun banyak kali jumpa dia, bila ada perkara penting dia akan bincang dengan Pas sebab Pas dan Bersatu menjadi tunggak kepada PN,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pernah berkata, Bersatu lebih dominan dalam PN dan parti itu hanya memperalatkan Pas demi kepentingan mereka pada PRU15.

SEMAK SEMUA CALON PRU15 MENGIKUT KAWASAN DI SINI

Pada masa sama, Tuan Ibrahim berkata, Terengganu mempunyai dua ‘tanah haram’ iaitu di Marang dan Batu Enam, Kuala Nerus.

“Di dunia ini ada dua Tanah Haram iaitu Tanah Haram Mekah dan Madinah tetapi politik di Terengganu pun ada dua ‘tanah haram’.

"Saya tengok di Terengganu ini ada dua kawasan di mana kawasan yang memang bendera lain tak boleh masuk (pasang). Terima kasih anak muda di sini yang mempertahankan bendera Pas sahaja yang ada di Batu Enam,” katanya. - SInar Harian