ALOR SETAR: Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyatakan bahawa parti itu meletakkan sasaran untuk bertanding di 80 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Menurutnya, daripada jumlah kerusi yang akan ditandingi itu, Pas menyasarkan untuk menang separuh daripadanya.

Tambah beliau, sekiranya sasaran berkenaan berjaya direalisasikan, maka tiada mana-mana pihak, parti atau gabungan dapat membentuk kerajaan Pusat tanpa penglibatan Pas.

Sanusi turut menyatakan bahawa sesiapa yang masih hidup pada tahun 2050, bermungkinan akan melihat seorang Perdana Menteri yang hadir daripada Parti Pas.

Jelasnya, Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Pas ketika ini sedang melaksanakan analisis dan penelitian berhubung kawasan-kawasan pilihan raya yang mencapai petunjuk prestasi utama (KPI), bagi diletakkan dalam senarai 80 kawasan yang disasarkan untuk ditandingi.

"Selebihnya itu, (sekiranya kita tidak bertanding Parlimen), mungkin kita (akan) bertanding DUN, Parlimen tidak bertanding tetapi DUN bertanding, kerja kena buat sama.

"(Senarai) nama (calon yang akan diletakkan itu) sudah ada tetapi untuk dinilai, sekiranya capai KPI, (penyandang sekarang akan) 'mantain', tidak sampai KPI, (kita akan) 'drop'.

"Buat masa sekarang ini daripada 80 (Parlimen) itu belum ada yang 'didrop', sebelum itu (kita juga melihat kepada) persiapan kewangan, kebolehmenangan, (sebelum) nanti kita akan tentukan (kawasan Parlimen), 80 itu kita pilih (yang) paling kuat.

"Kita nak menang pilihan raya ini, pertama (kawasan itu) kena ada ahli ramai, cawangan banyak, baru boleh buat kerja, ini cawangan ada dua tetapi kawasan (itu) pengundi ada 100,000, cawangan Pas ada dua, takkan nak bertanding, Pas akan (tengok) macam itu," katanya.

Sanusi berkata demikian ketika ditemui media selepas menyampaikan ucapan penggulungan Muktamar Tahunan Pas Ke-68 di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut, pda Ahad.

Mengulas mengenai logo yang akan digunakan Pas dalam PRU15, beliau memaklumkan bahawa berkara itu masih berada pada status 'dimasak' dan masih belum dapat 'dihidang'.

Dalam pada itu, Sanusi turut mengingatkan ahli-ahli Pas agar tidak memboikot Pas, sekiranya mereka atau rakan-rakan mereka tidak terpilih menjadi calon pada PRU akan datang.