KUALA NERANG: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyifatkan perbuatan sesetengah pemimpin politik yang sering berpindah randah dari satu kawasan ke kawasan yang lain terutama dalam menjadi calon pilihan raya sebagai tidak memikirkan soal rakyat.

Menurut beliau, budaya berpindah-randah itu merupakan perbuatan politikus yang akan memberikan kesan yang negatif kepada penduduk di kawasan setempat sekiranya mereka dipilih kelak terutama dari sudut sosio ekonomi, pembangunan rakyat serta penambahbaikan prasarana.

“Pada pandangan peribadi saya, lebih baik (pemimpin yang dipilih adalah daripada orang) di situ, (yang tinggal) di tempat itu… tidak payahlah (pemimpin yang amalkan budaya) pindah ini, orang sudah mula tulis ini sebagai nomad politik (iaitu pemimpin) yang berpindah-randah (ketika musim pilihan raya),” kata beliau.

Mahdzir berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Karnival Usahawan Desa (KUD), di sini, hari ini.

Tegas beliau, tindakan pemimpin bertukar kawasan juga jelas memperlihatkan dilakukan atas dasar politik semata-mata.

Dalam perkembangan sama, Mahdzir turut menjelaskan, budaya berpindah-randah kawasan pilihan raya tidak diamalkan dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, pemimpin yang dipilih daripada parti itu akan berkhidmat di sesuatu kawasan sehingga mereka bersara kelak.

Sebelum ini, Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan akan bertanding di Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Anwar yang juga Presiden PKR merupakan penyandang kerusi Parlimen Port Dickson.

Selain itu, bekas Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin turut berpindah dari kerusi Parlimen Hang Tuah Jaya ke Bagan Datuk.