KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menegaskan bahawa Pakatan Harapan (PH) kali ini lebih realistik dalam membuat tawaran selepas belajar daripada pengalaman menjadi kerajaan pada PRU14.

Mereka tetap konsisten dengan matlamat menghapuskan tol secara berperingkat, namun mengakui ia bukan sesuatu yang boleh terlaksana dengan sekelip mata.

Jelas Anthony, ia melibatkan proses semakan semula perjanjian konsesi terlibat yang perlu dilakukan bermula dengan menurunkan harga tol secara berperingkat.

“Kita faham umpamanya lebuh raya, ada konsesi dan perjanjian, memang tak mudah apabila kita ambil kerajaan, esok boleh batal tol, tidak.

“Apa yang kita boleh laksanakan dan kita tulis dengan jelas dalam manifesto kita bahawa kita akan menstruktur semula konsesi tersebut secara beransur-ansur dengan tujuan merendahkan harga tol.

“Bukti keikhlasan kita ialah hakikatnya PLUS telah pun dikurangkan tol sebanyak 18 peratus dan itu dilaksanakan semasa pentadbiran PH,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Rabu.

Kata beliau, rancangan penstrukturan semula perjanjian konsesi lebuh raya akan menjadi antara agenda yang akan diteruskan sekiranya PH sekali lagi diberikan mandat menjadi kerajaan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti.

Tegasnya, setiap perjanjian konsesi ada tarikh tamatnya dan selepas itu jalan raya sepatutnya dapat dinikmati oleh rakyat secara percuma sebagai jalan awam.

Pada masa sama, kata calon PH P.128 Seremban itu, akan difikirkan mekanisme baharu untuk menampung kos penyelenggaraan lebuh raya dari sumber lain.

PRU15 | PH teruskan tekad hapuskan tol secara berperingkat - Anthony Loke